KUALA LUMPUR : Kerajaan akan membuat tawaran baharu kepada pemilik tanah di Kampung Baru bagi menyelesaikan kemelut pembangunan di kawasan berkenaan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, susulan perbincangan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad minggu lalu, tawaran yang bakal diumumkan minggu depan disifatkan sebagai yang terakhir oleh kerajaan.

“Kita akan menepati tempoh sebulan yang dijanjikan sebelum ini untuk mempertimbangkan semula tawaran harga yang pernah ditawarkan.

“Mesyuarat dengan Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PKB) akan dijalankan pada minggu ini sebelum tawaran terkini itu dibuat kepada pemilik dan waris tanah terbabit,” katanya.

Terdahulu 5 Oktober lalu pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru mahu berbincang dari hati ke hati dengan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad.

Setiausaha Kumpulan Pewaris Kampung Baru, Zainudin Ismail berkata, Khalid tidak pernah bertemu dengan mereka sejak menggalas jawatan itu sehingga kini.

Dakwanya, Khalid banyak menerima maklumat berkaitan isu Kampung Baru daripada Perbadanan Kampung Baru (PKB) tanpa merujuk kepada pemilik.

“Di sinilah punca masalah timbul kerana maklumat yang diberikan bercanggah dengan apa yang kami ada.

“Sebelum ini Dr Mahathir semasa kempen PRU14 (Pilihan Raya Umum Ke-14) pada 2 Mac 2018 berjanji akan membangunkan Kampung Baru jika PH (Pakatan Harapan) menang.

“Ini disambut baik oleh penduduk Kampung Baru. Dr Mahathir turut menyarankan kami membentuk jawatankuasa sebagai platform menyuarakan pandangan mengenai pembangunan,” katanya.

Pada 6 Oktober lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, tanah Kampung Baru yang terletak di tengah-tengah ibu negara bukan untuk dijual kepada individu atau pihak luar, sebaliknya kepada agensi kerajaan.

Menurutnya, agensi kerajaan itu berperanan membantu pemilik tanah untuk membangunkan kampung berkenaan tanpa mengabaikan ciri-ciri asal tanah Melayu.

Menurutnya, tanah Kampung Baru dahulunya tanah pertanian tetapi kini hanya sesuai untuk perniagaan, namun pemilik tanah tidak mempunyai cukup wang untuk membangunkan kawasan tersebut.

“Kita lihat masih ada rumah lama berbumbung zink serta berkarat.

Keadaan ini tidak mencerminkan kedudukan orang Melayu itu sendiri,” katanya.