PUTRAJAYA: Kerajaan bercadang memendekkan prosedur operasi standard (SOP) masa siasatan Akta Gangguan Seksual bagi memastikan kes jenayah itu dapat diselesaikan dengan segera.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh, berkata pada masa ini,

SOP masa siasatan adalah 21 hari, dan ia menyukarkan mangsa untuk datang ke tempat kerja.

Yeoh berkata, pihaknya akan berbincang dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Sumber Manusia bagi menggubal semula SOP kod etika dan peraturan atau garis panduan sedia ada.

“Kementerian sedang di peringkat akhir menggubal akta khusus menangani gangguan seksual termasuk memperkenalkannya di tempat pengajian dan universiti,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Forum Gangguan Seksual di Malaysia di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Koordinator Penduduk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN), Stefan Priesner dan wakil persatuan Dana Rakyat Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (UNFPA), Marcela Suazo.

Forum berkenaan diadakan sempena Hari Antarabangsa Untuk Menghapuskan Keganasan Terhadap Wanita anjuran bersama kementerian dan Pertubuhan Bangsa-Banga Bersatu (PBB) Malaysia.

Yeoh berkata, hasil kajian berhubung penggubalan akta khusus itu dijangka siap sepenuhnya akhir Januari depan dan boleh diguna pakai oleh semua pihak berbanding hanya garis panduan dan kod etika Gangguan Seksual di Tempat Kerja dan Garis Panduan Mengendalikan Gangguan Seksual di Tempat Kerja Dalam Perkhidmatan Awam sebelum ini.

Katanya, apabila diperkenal kelak, akta itu membolehkan pelajar di pusat pengajian membuat aduan dan tindakan undang-undang jika menghadapi gejala gangguan seksual – berita harian