PONTIAN : Perkhidmatan feri baharu menghubungkan Kukup dengan Tuas, Singapura akan dilaksanakan jika Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Sabtu ini.

Timbalan Presiden PH, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, cadangan itu sudah dikemukakan kepada Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal.

Katanya, perkhidmatan feri itu akan merancakkan lagi ekonomi khususnya sektor pelancongan di kawasan itu.

“Antara agenda paling utama adalah membangunkan sektor pelancongan di Tanjung Piai.

“Terima kasih kepada Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal kerana menyambung semula perkhidmatan feri di Kukup baru-baru ini.

“Saya ada bertanya kepada beliau, mengapa tiada perkhidmatan feri menyambung Kukup dan Tuas di Singapura.

“Selepas dibincangkan, mereka berpendapat boleh wujudkan perkhidmatan feri baharu itu, Insya-Allah selepas menang PRK Parlimen Tanjung Piai, kita boleh laksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Ceramah Mega Perdana PH di Terminal Bas Kukup di Kukup Laut malam tadi.

Muhyiddin turut mengingatkan pengundi bahawa masalah dihadapi akan dapat diselesaikan jika memilih calon kerajaan sebagai wakil rakyat.

“Pengundi perlu faham, ini adalah pilihan raya kecil, justeru adalah penting untuk memilih calon yang boleh membantu kerajaan pusat dan negeri melaksanakan pelbagai pembangunan yang diperlukan.

“Jika tersalah pilih, maka setahun setengah akan datang menjadi tempoh panjang, masalah rakyat tidak boleh diselesaikan jika wakil rakyat pembangkang dipilih.

“Ini logik yang perlu difikirkan, beri pertimbangan penuh dan pilih calon PH, Karmaine Sardini dalam PRK Parlimen Tanjung Piai, Sabtu ini,” katanya.