KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia hari ini dibenarkan Mahkamah Admiralti untuk melantik broker asing bagi menjalankan urusan penjualan kapal layar mewah milik ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low.

Peguam Sitpah Selvaratnam mewakili Kerajaan Malaysia ketika ditemui selepas pendengaran permohonan bagi perintah jualan, berkata bermula hari ini broker itu dan jurunilai antarabangsa akan melakukan kerja dokumentasi seperti urusan iklan dan memorandum maklumat.

Sitpah berkata, ia adalah supaya pembeli berpotensi mengetahui apa yang boleh dilihat pada spesifikasi dan keadaan kapal.

“Kami sudah mendapat pelantikan yang diluluskan hari ini… semuanya akan bermula dari sekarang dan beberapa minggu akan datang. Kami menjangkakan kapal akan dijual secara rasmi dan dibuka untuk tender yang akan dimasukkan ke dalam pembelian.

“Mungkin dari November minggu kedua dan ke atas… oleh itu pada akhir Disember atau awal November kami boleh menjual kapal itu.

“Sudah tentu kita tahu ia adalah pasaran ceruk dengan bilangan pembeli berpotensi di luar sana kecil tetapi kami masih berharap ada pembelian baik yang dapat diterima.

“Berhubung dengan harga pula, kami tidak tahu lagi dan ia akan menjadi rahsia… penilai akan menyediakan laporan mereka dan ia adalah sulit,” katanya.

Ditanya lanjut mengenai broker yang dilantik, Sitpah berkata ia adalah broker asing yang terkenal di peringkat antarabangsa dalam industri kapal layar.

Sitpah berkata, hanya seorang broker dilantik manakala broker lain boleh mengemukakan permohonan dan bekerjasama bagi mendapatkan maklumat,

Bagaimanapun katanya, penilai yang dilantik pula hanya satu syarikat daripada United Kingdom.

“Kami membuka tender dan meminta sesiapa saja untuk memasukkan tawaran dan cadangan mereka berhubung penilaian dan pemasaran kapal.

“Daripada keseluruhan pilihan kami mahkamah mengesahkan pelantikan penilai itu.

Ditanya sama ada Jho Low atau syarikatnya memasuki kehadiran dalam permohonan itu di mahkamah hari ini, Sitpah berkata: “Tidak.”

“Tiada siapa yang secara rasmi datang kepada kami,” katanya.

Pada 24 Ogos lalu. Mahkamah Tinggi (Bahagian Admiralti) membenarkan permohonan Kerajaan Malaysia dan tiga lagi untuk menjual kapal mewah Equanimity yang didakwa milik Jho Low.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Khadijah Idris, membenarkan permohonan bagi mendapatkan perintah penilaian dan penjualan dikemukakan kerajaan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan dua subsidiarinya Global Investment Limited serta Energy Holdings Limited mengikut Perintah 29 Aturan 4 Kaedah Mahkamah 2012.

Melalui permohonan difailkan pada 6 Ogos lalu, mereka menamakan pemilik kapal dan syarikat Equanimity (Cayman) Ltd beralamat di United Kingdom sebagai defendan pertama dan kedua.

Mahkamah membenarkan permohonan itu dengan alasan bagi mengelakkan kos penyelenggaraan tinggi, selain ia boleh menyebabkan kerosakan sehingga aset itu susut nilai dan alasan keselamatan – berita harian