Gerakan Rakyat Malaysia (Geras) memberi tempoh 40 hari kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) bagi memenuhi tujuh tuntutan mereka.

Tuntutan itu dinyatakan pada himpunan menuntut keadilan untuk anggota bomba yang Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim dan mendesak pemecatan P Waythamoorthy yang diadakan di Dataran Seni Klang, hari ini.

Antara tuntutan itu ialah pemecatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waythamoorthy sebagai menteri perpaduan yang disifatkan menjadi penumbang berlakunya rusuhan di Kuil Seafield Sri Maha Mariamman 25 dan 26 Nov lalu.

Bercakap di hadapan 2,000 peserta himpunan itu, Presiden Gerakan Rakyat Malaysia (Geras), Abu Bakar Mohamed berkata pihaknya akan menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

“Kita desak petualang ini (Waythamoorthy) supaya dia letak jawatan. Layak ke dia jadi menteri perpaduan? Layak ke?.

“Jadi, kita beri tempoh 40 hari kepada kerajaan untuk memenuhi tujuh tuntutan ini, demi perpaduan negara serta keadilan untuk Allahyarham Muhammad Adib,” katanya.

Selain Waythamoorthy, Geras juga turut mendesak supaya Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran dan Exco Selangor, V Ganabatirau turut disingkirkan kerana didakwa turut terbabit “mengapikan” isu rusuhan kuil berkenaan.

Muhammad Adib menghembuskan nafas terakhir ketika dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) pada jam Isnin minggu lalu, selepas hampir tiga minggu bertarung nyawa.

Allahyarham merupakan anggota bomba yang cedera parah akibat dipukul perusuh pada hari kedua rusuhan di Kuil Seafield Sri Maha Mariamman – Malaysia kini

[Berita lanjut menyusul]