IPOH: Seorang wakil rakyat mencadangkan supaya kerajaan negeri Perak menubuhkan sebuah badan atau ‘Delivery Unit’ yang berfungsi seperti Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) di peringkat kerajaan Persekutuan.

Mohamad Ziad Mohamed Zainal Abidin (BN-Manjoi) berkata, badan itu penting bagi memperkukuhkan dan menambahbaik sistem penyampaian kerajaan, demi memastikan manfaat daripada setiap dasar dan program kerajaan dapat dirasai oleh kumpulan sasar.

Menurut beliau, langkah kerajaan negeri mengkatifkan semula Majlis Tindakan Ekonomi Negeri (MTEN) adalah suatu tindakan yang bijak dan proaktif.

“Oleh itu kewujudan ‘Delivery Unit’ nanti, ianya akan dapat menghasilkan pemantauan berkesan untuk bergerak ke hadapan,” katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih Titah Diraja di Sidang DUN.

Beliau turut mencadangkan agar mesyuarat jawatankuasa-jawatankuasa negeri yang dipengerusikan oleh Exco, seperti pasca mesyuarat Exco dapat diadakan pada setiap minggu.

“Hal ini jika dilaksanakan bukan sahaja dapat memantau perjalanan dan keberkesanan sesuatu keputusan yang dibuat, malah ianya juga dapat mengurangkan sedikit sebanyak beban yang di tanggung oleh YAB Menteri Besar,” ujar beliau.

Mohamad Ziad berpendapat, pendekatan itu akan meningkatkan lagi prestasi Jabatan-jabatan dan juga dapat menghasilkan lebih banyak lagi pemenang anugerah di peringkat kebangsaan.

Malah, kata beliau, apa yang lebih penting lagi ianya akan memberikan kebaikan dan impak yang positif kepada rakyat.

Beliau turut mencadangkan Lembaga Perumahan & Hartanah Perak melaksanakan projek-projek perumahan awam khusus kepada penjawat-penjawat awam terutamanya kepada gred N27 ke bawah, selain dari Projek Perumahan Awam 1 Malaysia (PPA1M) yang sedang dibina di Ipoh, Taiping, Kampar dan Mualim.