TAIPING 10 Mac – Kerajaan didesak agar bertegas dengan tidak memberi sebarang ruang kepada golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) untuk melakukan perbuatan yang bertentangan dengan ajaran Islam dan norma masyarakat atas nama kebebasan dan hak asasi manusia.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kebebasan dan hak asasi manusia dalam acuan negara ini mempunyai sempadan dan batasan yang perlu dipatuhi dan ia bukanlah sesuatu yang bersifat mutlak.

Malah katanya, tindakan membuka ruang dan membiarkan perlakuan golongan itu dilihat akan mengganggu struktur asas masyarakat yang telah dibina selama ini.

“Kita sama sekali tidak mengiktiraf definisi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai hak asasi manusia dan kebebasan berkait golongan berkenaan. Bagi kita hak asasi manusia tidak boleh mutlak, ia tidak boleh bersifat seluas-luasnya dan sebebas-bebasnya.

“Malah agama mana-mana pun menentang perlakuan songsang seperti ini. Selama ini, kita hidup dalam harmoni dan stabil, di mana kita berpegang teguh kepada prinsip dan norma kehidupan dalam konteks masyarakat majmuk di negara ini,” katanya ketika ditemui selepas program Aspirasi Akar Umbi Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Bukit Gantang di Taman Kaya di sini hari ini.

Semalam, dalam satu perhimpunan dan perarakan Women’s March yang diadakan di Kuala Lumpur, penyokong LGBT dirakam melaungkan slogan seperti `Hidup LGBT’ dan mengibarkan bendera pelangi yang menandakan sokongan mereka terhadap golongan itu.

Walaupun perarakan itu bertujuan untuk meraikan Hari Wanita Sedunia yang disambut kelmarin, kelibat penyokong LGBT dilihat mencemarkan perarakan tersebut. – UTUSAN ONLINE