PETALING JAYA : Kerajaan pusat digesa supaya mengabaikan idea untuk mengambil alih lebuh raya bertol, sebaliknya membiarkan tempoh konsesinya tamat seperti dijadualkan.

Bekas menteri kerja raya Fadillah Yusof berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini pernah menimbang untuk mengambil alih lebuh raya, tetapi akhirnya mengetepikan idea itu kerana beban kewangan yang terlalu besar.

“Membayar pampasan kepada pemegang konsesi bagi mengelakkan kadar tol dinaikkan pun sudah memakan kos yang tinggi,” katanya, merujuk kepada laporan FMT berhubung cadangan pengambilalihan PLUS Malaysia Bhd berserta liabilitinya pada kos lebih RM35 bilion.

Menurut cadangan itu, kerajaan akan melanjutkan kutipan tol selama 20 tahun, tetapi memberikan diskaun 18 peratus kepada pengguna lebuh raya.

Kadar tol tidak akan dinaikkan, sekali gus menyelamatkan bayaran pampasan berjumlah beberapa bilion ringgit kepada syarikat konsesi.

Fadillah berkata, kerajaan BN sebelum ini percaya adalah lebih baik untuk membiarkan tempoh konsesi sedia ada tamat seperti dijadualkan dan menyalurkan wang yang mungkin diperlukan untuk tujuan pengambilalihan itu kepada usaha memperkukuh dan memperluas akses kepada pengangkutan awam.

“Kami fikir adalah lebih baik kerajaan memberi subsidi kepada pengangkutan awam. Berikan insentif kepada orang ramai supaya menggunakan bas dan kereta api, bukannya disalurkan kepada kenderaan persendirian.”

Katanya, kerajaan sekarang perlu mengkaji dasar sedemikian, bukannya membeli lebuh raya bertol.

“Kerajaan boleh mengenal pasti mereka yang memerlukan subsidi dan berikan kepada mereka pas percuma.”

Fadillah berkata, jika kerajaan benar-benar mahu mengelakkan kenaikan kadar tol, ia boleh memberi pampasan kepada syarikat operator tol supaya kenderaan pengangkutan awam tidak perlu membayar kadar tol yang tinggi, sekali gus menjamin kos mereka kekal rendah.

“Tetapi jika anda membayar apa-apa juga bentuk pampasan, maka anda menghakis wang awam dan ini bermakna dana untuk pembangunan akan berkurang,” katanya.

“Kita perlu ingat bahawa banyak tempat dan golongan rakyat yang tidak mendapat apa-apa manfaat daripada pengambilalihan tol, terutama kawasan luar bandar di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.”

Fadillah, yang juga merupakan ahli Parlimen Petrajaya berkata, bayaran tol dikenakan hanya apabila ia digunakan dan terdapat pilihan percuma lain berbanding lebuh raya bertol.

Rosli Azad Khan.

Perunding kanan pengangkutan Azad Khan juga berkata, konsesi tol harus dibiarkan tamat seperti dijadualkan dan setelah itu lebuh raya terbabit diserahkan kepada kerajaan.

Katanya, rancangan penswastaan kerajaan dilaksanakan supaya dana awam yang terhad boleh disalurkan ke bidang lain.

“Lebih baik dana itu digunakan untuk kesihatan, sekolah, pengangkutan awam dan khidmat sosial lain, selain membantu kumpulan B40.

“Kumpulan B40 tidak mendapat manfaat daripada langkah kerajaan mengambil alih konsesi tol” katanya kepada FMT.

Barjoyai Bardai.

Bagaimanapun pakar ekonomi dari Universiti Tun Abdul Razak, Barjoyai Bardai berkata, kerajaan boleh mengambil alih lebuh raya bertol, tetapi tidak menghapuskan kutipan tol.

“Kerajaan boleh melihat kutipan tol sebagai satu bentuk cukai bersasar. Ia boleh mengutip berbilion ringgit dan menyalurkan dana tersebut kepada aktiviti penyelenggaraan dan pembinaan infrastruktur lain.”

Katanya jika kerajaan mengambil alih lebuh raya tetapi tidak mengutip tol, maka banyak dana awam perlu digunakan untuk menyelenggara lebuh raya tersebut.