KUALA LUMPUR : Kerajaan digesa memanjangkan tempoh visa untuk pelancong China bagi menyelamatkan industri hotel yang terkesan teruk akibat penyebaran wabak Covid-19.

Pengerusi Eksekutif Country Heights Holding Berhad Lee Kim Yew menggesa kerajaan melanjutkan tempoh visa itu sehingga setahun, berbanding 30 hari buat masa ini.

“Ini dapat menarik pelancong-pelancong yang kaya dan sihat untuk menanggung kerugian enam bulan (akibat isu Covid-19),” katanya.

Lee menjelaskan bahawa lanjutan tempoh visa ini boleh dilihat sebagai usaha untuk menyelamatkan industri perhotelan yang sedang mengalami kerugian.

Beliau menjangkakan kerugian itu akan berlanjutan sehingga Jun.

Lee berkata kerugian berterusan hotel di Malaysia boleh menjejaskan kira-kira 0.5 peratus peluang pekerjaan rakyat Malaysia.

Setakat semalam, Persatuan Hotel Malaysia (MAH) mengangggarkan kerugian hotel di seluruh Malaysia sebanyak RM66 juta, dengan 157,000 pembatalan tempahan hotel sejak Januari lalu.

Sementara itu, Lee berkata penginapan jangka panjang boleh menjadi alternatif kepada industri perhotelan untuk menarik minat pelancong terutamanya dari China untuk datang ke Malaysia.

Tambahnya, sekiranya tempoh visa dipanjangkan selama setahun, tidak mustahil pelancong-pelancong ini akan menjadikan Malaysia sebagai rumah kedua.

“Alternatif penginapan jangka panjang ini boleh dilihat sebagai satu cara untuk pemain-pemain industri perhotelan menukar krisis kepada peluang.

“Sekiranya tidak, pemain-pemain industri ini mungkin akan berhadapan dengan risiko penutupan kerana tidak mampu untuk menanggung kerugian,” jelasnya.

Malaysia setakat ini menyekat kemasukan pelancong China dari wilayah Hubei susulan penularan wabak Covid-19.

Sehingga kini, seramai 22 kes positif Covid-19 dilaporkan di Malaysia dengan 17 pesakit telah pulih daripada jangkitan tersebut.

Sebahagian besarnya melibatkan warganegara China yang masuk ke negara ini.