BAGAN SERAI 7 Jan. – Kerajaan diminta memberikan bantuan segera kepada penduduk yang kediaman mereka rosak teruk akibat ribut di PPMS Batu 6, Bukit Merah dekat sini petang semalam.

Ahli Parlimen Bagan Serai, Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, kejadian ribut kali ini agak teruk dan tinjauan mendapati empat buah rumah paling teruk mengalami kerosakan.

Menurutnya, empat buah rumah tersebut memerlukan baik pulih dengan kos anggaran lebih RM5,000 setiap sebuah.

“Saya berharap kerajaan negeri dan Persekutuan memberikan bantuan segera kepada mangsa ribut di sini.

“Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bagan Serai membantu dengan memberikan sumbangan beras dan kewangan bagi meringankan bebanan mereka,” katanya ketika meninjau rumah penduduk yang terjejas akibat ribut di sini hari ini.

Noor Azmi juga mencadangkan supaya tabung bencana dan pusat penempatan banjir atau ribut disediakan di Daerah Kerian supaya persekolahan anak-anak tidak terganggu jika bencana alam seperti ribut dan banjir.

Katanya, ini kerana penempatan di PPMS sering dilanda ribut dan banjir.

“Dalam tempoh dua atau tiga tahun kebelakangan ini, kawasan ini juga sering dilanda banjir yang menyebabkan kerosakan harta benda penduduk.

“Kerajaan perlu mencari jalan untuk mengatasi masalah ini supaya tidak berulang,” katanya.

Ribut yang berlaku pada kira-kira pukul 5 petang semalam, menyebabkan 10 buah rumah di penempatan tersebut rosak dengan empat daripadanya rosak teruk.

Kejadian itu menyebabkan bumbung rumah diterbangkan angin selain kerosakan peralatan rumah dan penduduk yang terlibat ditempatkan di Dewan PPMS Bukit Merah sejak semalam. – UTUSAN ONLINE