IPOH: Kerajaan diminta menaiktaraf Pusat Kesihatan Batu Kurau yang kini sudah uzur struktur bangunannya dan tidak mampu memenuhi kehendak bilangan penduduk yang semakin bertambah.

Menurut Ahmad Hasbullah Alias (BN-Kubu Gajah), pusat kesihatan itu bukan sahaja digunakan rakyat dari Batu Kurau malah juga dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kubu Gajah.

Beliau berkata, isu pusat kesihatan itu kini hangat diperkatakan oleh penduduk setempat kerana faktor usia bangunan yang mula dibina sejak tahun 50-an dan tidak mempunyai doktor pakar.

“Saya penuh yakin apabila pusat kesihatan ini dinaiktaraf segera, ia dapat memberi perkhidmatan lebih selesa kepada penduduk sekitar mukim Batu Kurau dan DUN Kubu Gajah,” katanya semasa membahaskan usul menjunjung kasih Titah Sultan Perak sempena Sidang DUN Perak pada Khamis.

Beliau turut meminta kerajaan membina sebuah masjid baharu Toh Paduka di pekan Ijok menggantikan masjid lama yang sudah tidak mampu lagi menampung bilangan jemaah yang semakin bertambah.

Hasbullah juga meminta kerajaan menaiktaraf sebuah pondok polis yang sudah tidak berfungsi di pekan Ijok kerana bangunan pondok polis berkenaan sudah uzur.

“Ini penting kerana dengan beroperasinya semula khidmat PDRM, maka ia dapat menjaga keselamatan penduduk dari sebarang ancaman jenayah,” ujarnya.