IPOH: Kerajaan diminta menambah peruntukan tahunan daripada RM5 juta kepada RM10 juta kepada Yayasan Bina Upaya (YBU) bagi membolehkan badan itu bergerak membantu golongan peniaga kecil mengembangkan perniagaan di luar bandar

Wakil kerajaan Abdullah Fauzi Ahmad Razali (BN-Kampung Gajah) berkata, ketika ini YBU menerima peruntukan dalam bajet kerajaan sekitar RM5 juta dan perlu ditambah RM5 juta lagi menjadi RM10 juta bagi membantu golongan peniaga kecil.

“Saya melihat peruntukan RM5 juta tidak dapat membantu golongan peniaga kecil secara berkesan sedangkan bilangan peniaga kecil di kampung-kampung semakin bertambah dan memerlukan bantuan untuk mengembangkan perniagaan mereka,” katanya semasa membahas titah ucapan Sultan Perak sempena pembukaan Sidang DUN Perak pada Rabu.

Abdullah turut mencadangkan kerajaan menerusi Lembaga Air Perak (LAP) membina sebuah loji air yang dapat membekalkan 30 juta gelen air sehari di kawasan DUN Kampung Gajah untuk memberi kemudahan kepada 1,500 penduduk di Seberang Perak.

Menurut beliau, setakat ini LAP telahpun membina loji air di kawasan Perak Tengah namun kawasan DUN Kampung Gajah masih belum mempunyai sebuah loji air.

Beliau juga mencadangkan kepada pihak Lembaga Perumahan dan Hartanah Negeri Perak supaya membangunkan empat buah kampung tersusun dalam DUN Kampung Gajah yang kini tidak dapat dilaksanakan kerana kos yang tinggi.

Katanya, empat kampung tersusun itu ialah di Kampung Tersusun Bandar Baharu Seberang Perak dan di Kampung Bukit Chawi.

“Saya mengharapkan usaha membangunkan empat kampung tersusun ini dapat dijalankan untuk memberi kemudahan tempat tinggal kepada rakyat terutamanya golongan generasi kedua,” ujarnya.