PARIT BUNTAR 5 Jan. – Kerajaan disaran mengeluarkan papan tanda larangan merokok untuk pemilik restoran dan premis makanan secara percuma bagi mengelakkan pihak tertentu mengambil kesempatan.

Abdul Aziz Hamzah

Peniaga di sini mendakwa kerap didatangi individu yang menjual papan tanda larangan merokok pada harga RM10 sekeping.

Seorang peniaga makanan, Zainol Mastor Ali, 56, tahun, dia didatangi individu yang menawarkan papan tanda larangan merokok semalam namun enggan membelinya.

“Memandangkan ia dijual oleh pihak yang tidak dikenali, saya tidak membelinya kerana saya tidak mahu ada pihak yang mengambil kesempatan daripada larangan merokok yang dikuatkuasakan oleh kerajaan.

“Jika perkara ini tidak dipantau, ada pihak yang mengaut keuntungan daripada penjualan papan tanda ini,” katanya.

Seorang pelanggan restoran, Abdul Aziz Hamzah, 51, berkata, sepatutnya Kementerian Kesihatan memberikan secara percuma papan tanda larangan merokok kepada peniaga.

“Kenapa tiada pihak yang memantau penjualan papan tanda ini? Adalah jelas ada pihak jelas mahu mahu mengaut keuntungan,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, pihaknya tidak mempunyai wakil menjual papan tanda larangan merokok yang perlu dipamerkan di semua restoran dan premis makanan di seluruh berkuatkuasa 1 Januari lalu.

Kementerian hanya menetapkan spesifikasi papan tanda itu perlu berukuran sekurang-kurangnya 40×50 sentimeter.

Beliau berkata, para peniaga boleh membuat papan tanda sendiri tanpa menuntut sebarang kos kepada kementerian.

Beliau berkata, kegagalan mempamerkan papan tanda itu membolehkan para peniaga dikenakan denda maksimum RM3,000 sementara perokok yang melanggar peraturan, boleh didenda tidak melebihi RM10,000. – UTUSAN ONLINE