IPOH: Kerajaan terus galakkan petani menanam selain daripada kelapa sawit dengan memberi galakan kepada pengusaha pertanian dalam pengeluaran produk agro-makanan seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan lain-lain tanaman singkat masa.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Modal Insan negeri, Datuk Saarani Mohamad berkata, ini adalah kerana tahap sara diri negeri perak adalah 40 peratus bagi sayur-sayuran manakala 40 peratus bagi buah-buahan.

Menurut beliau, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan melalui agensi pembangunan seperti Jabatan Pertanian, pertubuhan peladang dan seumpamanya untuk terus meningkatkan tahap sara diri ini dari semasa ke semasa, bagi mengurangkan kebergantungan kepada pihak luar.

“Di samping itu, aktiviti pertanian yang dijalankan mengikut amalan pertanian baik pada skala yang tertentu boleh menjana pendapatan yang lebih selesa sekitar RM3,000 sebulan,” katanya ketika menjawab soalan Wong May Ing (DAP – Pantai Remis) pada hari pertama Sidang DUN Perak.

Sarani memberitahu, secara umumnya, pada tahun 2015, terdapat tanaman sayuran seluas 5,072 hektar yang mengeluarkan hasil sejumlah 69,568 metrik tan dengan nilai RM145.3 juta.

Bagi tanaman buah-buahan pula, ujarnya, terdpat seluas 12,391 hektar yang telah menghasilkan 127,872 metrik tan dengan nilai pengeluaran RM252.22 juta.

Katanya, dalam usaha menggalakkan golongan muda menceburi bidang pertanian, terutamanya tanaman makanan, Jabatan Pertanian telah memperkenalkan insentif dan galakan dalam bentuk pemberian peruntukan pembangunan tahunan bagi projek-projek yang berpotensi yang dilaksanakan di bawah bimbingan jabatan.

Menurutnya, insentif ini berbentuk bantuan input pertanian, infra dan peralatan ladang dan sepanjang tahun ini, kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM1.235 juta.

Beliau memberitahu, program ini meliputi tanaman makanan, florikultur dan komoditi berpotensi yang meliputi beberapa sub-program iaitu pembangunan kecemerlangan tanam herba negeri Perak.

Di samping itu, katanya, program itu juga melibutkan pembangunan industri padi, pembangunan industri buah-buahan, pembangunan sayur-sayuran dan tanaman singkat masa, pembangunan tanaman industri kelapa, pembangunan tanaman kekal pengeluaran makanan (TKPM), pembangunan industri berpotensi dan pembangunan indsustri florikultur.

“Bantuan insentif ini terbuka kepada semua petani yang mengusahakan tanaman makanan dengan syarat utama perlulah mempunyai projek sedia ada di samping mengusahakan projek di tanah yang sah,” tambahnya.

Saarani berkata, Jabatan Pertanian juga melaksanakan program inkubator bagi usahawan tani dan program bimbingan usahawan bagi sektor industri asas tani di samping latihan berjadual di lima pusat latihan pertanian dan pusat bimbingan usahawan pertanian di Manong, Lekir, Degong, Selama dan Titi Gantung.

Selain Jabatan Pertanian, ujar beliau, Kumpulan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNPk) juga melaksanakan projek Ladang Belia Lekir untuk melahirkan belia yang mahir dalam tanaman kontan.

Katanya, Kumpulan PPPNPk sebagai tuan tanah sediakan kemudahan infrastruktur meliputi pembersihan kawasan, penyediaaan jalan ladang, sistem pengairan serta kos pembangunan, peserta akan dibimbing oleh seorang pembimbing yang berpengalaman luas.

Menjawab soalan tambahan Datuk Dr Zabri Abd Wahid (BN – Trong), Saarani berkata, Kumpulan PPPNPk akan membiayai kos ladang itu untuk tahun pertama dan turut menyediakan pinjaman modal untuk tahun-tahun berikutnya.