IPOH – Kerajaan menggesa para pemilik perniagaan di seluruh negara agar mendaftarkan perniagaan mereka secepat mungkin dengan pelaksanaan semula Cukai Jualan Dan Perkhidmatan (SST) yang berkuatkuasa hari ini.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata ini untuk mengelakkan para pemilik perniagaan untuk menanggung kos cukai tersebut daripada dibayar oleh mereka menggunakan duit sendiri, bukannya daripada hasil pungutan SST kepada kerajaan selagi mereka belum berdaftar.

“Sistem ini telahpun bermula, sekiranya lewat mendaftar atau berdepan apa-apa masalah, peniaga hanya perlu bayar enam peratus cukai itu kerana mereka tidak boleh menjalankan kutipan daripada pelanggan.

“Walaupun tiada sebarang hukuman dikenakan kepada peniaga yang tidak mendaftar, mereka masih perlu membayar cukai berkenaan bermula hari ini tanpa boleh mengenakan caj kepada pengguna.

“Jadi secara logiknya, mereka tidak akan menanggung sendiri cukai itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Taklimat Pelaksanaan SST bersama Menteri Kewangan anjuran JKDM Perak yang turut dihadiri Ketua Pengarah JKDM, Datuk Seri T Subromaniam di sebuah hotel pada Sabtu.

Guan Eng meminta supaya para pemilik perniagaan dan perkhidmatan supaya tidak bimbang kerana kerajaan akan menggunakan pendekatan yang lembut, mesra dan berjiwa rakyat kerana tidak ada tindakan punitif atau tindakan hukuman yang akan dikenakan untuk peringkat awal ini.

Beliau turut menegaskan bahawa pihak kementerian dalam negeri akan mengambil tindakan untuk memastikan tidak ada sebarang aktiviti anti-pencatutan.

Guan Eng berkata, ketidakfahaman mengenai pelaksanaan SST mendorong beliau sendiri turun menjelajah ke semua negeri bagi memberikan taklimat, sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana Menteri Kewangan sebelum ini.

Kesan SST dijangka kurang daripada separuh berbanding Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kerana pengecualian 10 kali ganda lebih besar diberikan kerajaan kepada barangan yang dikenakan cukai, tambah beliau.

“GST berikan pengecualian kepada 545 barangan saja manakala SST berikan pengecualian kepada 5,443 barangan iaitu 10 kali ganda lebih besar daripada GST dan kerajaan harap sekiranya ada kenaikan harga barangan, kesannya hanyalah kurang daripada separuh berbanding GST.

“Kerajaan juga berharap dan memohon semua pihak berikan kerjasama, janganlah gunakan peluang ini untuk naikkan harga barang, sekiranya tidak dikenakan cukai jangan cakap atau pura-pura ada kenaikan harga barang kerana SST dan ambil peluang ini,” katanya.