SERDANG: Kerajaan akan memanfaatkan sepenuhnya sistem wakaf sebagai instrumen dalam membela golongan 40 peratus berpendapatan terbawah atau B40.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof, berkata antara wakaf yang akan digunakan adalah wakaf pendidikan dan perumahan yang menjadi antara keperluan utama golongan berkenaan ketika ini.

Katanya, kerajaan tidak memiliki kemampuan untuk menampung keperluan pendidikan dan perumahan mereka jika bergantung kepada kewangan negara semata-mata, sekali gus wakaf boleh memainkan peranan membantu kerajaan bagi membantu golongan yang memerlukan.

“Kerajaan, khususnya Pakatan Harapan (PH) meletak keutamaan golongan B40 bagi meneruskan subsidi bersasar, tetapi masih belum cukup untuk membela mereka.

“Maka wakaflah yang boleh memainkan peranan dalam pembelaan golongan B40, sama ada dalam memastikan pendidikan yang lestari dan berjangka panjang, atau perumahan yang diperlukan, di mana kerajaan tidak mampu untuk menanggung keseluruhannya.

“Disebabkan itu, wakaf bukan saja boleh memainkan peranan dalam perkara ini, tetapi juga menjadi penyumbang aktif dalam usaha kita membina semula negara,” katanya ketika berucap merasmikan Seminar Wakaf Institusi Pendidikan 2018 di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim; Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), Ahmad Musadad Sulaiman; Timbalan Naib Canselor UPM, Dr Zulkifli Idrus; dan Pengarah Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN), Dr Razali Othman.

Mujahid berkata, umat Islam di negara ini tidak boleh terperangkap dalam pemikiran jumud yang beranggapan kononnya Islam menentang kekayaan, sedangkan ia adalah perkara utama dalam memastikan kejayaan sistem wakaf.

“Islam tidak menentang kekayaan, kerana mereka yang kaya inilah yang menjadi penyumbang terbesar dalam program wakaf.

“Jangan dihimpit pemikiran kononnya Islam tidak mahukan kekayaan, Islam mahu kerana kekayaan menghasilkan sistem sosial ekonomi, iaitu harta dalam perniagaan dikembalikan kepada sistem wakaf, yang kemudian digunakan untuk umat Islam,” katanya.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) itu turut menegaskan kepentingan pengurusan wakaf untuk mengamalkan ketelusan, tanggungjawab dan amanah dalam menguruskan harta wakaf.

“Sedikit kecacatan yang membawa gambaran berlaku penyelewengan, kegagalan dan kelemahan institusi wakaf mengendalikan dana yang besar, maka yang mendapat imej buruk adalah Islam,” katanya.

Terdahulu, Mujahid melancarkan aplikasi telefon pintar Wakaf Suara @ Buku Audio, yang membolehkan orang ramai mewakafkan suara menerusi rakaman pembacaan mana-mana buku untuk digunakan golongan orang kelainan upaya (OKU) – berita harian