Kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan meneliti laporan Wall Street Journal (WSJ) yang mendakwa China dianugerahkan projek rel, saliran paip dan beberapa projek lain ketika negara di bawah pentadbiran BN sebagai ganjaran untuk tawaran China menebus 1MDB yang berdepan masalah kewangan.

Laporan WSJ itu hari ini memetik minit mesyuarat yang dikatakan daripada beberapa siri mesyuarat yang tidak didedahkan sebelum ini.

Diminta mengulas laporan WSJ itu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berharap dapat salinan dokumen yang dipetik WSJ sebagai “minit mesyuarat” antara Malaysia dan China.

“Saya akan semak sama ada perjanjian (antara China dan Malaysia) itu wujud. Jika terdapat dokumen yang mengesahkannya, kami akan siasat.

“Lebih elok jika kami WSJ beri kami salinan minit mesyuarat berkenaan,” kata Lim pada sidang media di ibu pejabat Kementerian Kewangan di Putrajaya hari ini.

Tambah Lim, beberapa perjanjian berkaitan projek berkenaan termasuklah projek saliran paip Sabah sememangnya meragukan.

“Tengok projek saliran paip Sabah. Macam mana bayaran RM8.3 bilion sudah dibuat? Jumlah itu merupakan 88 peratus harga keseluruhan kos, sedangkan kerja baru 10 peratus berjalan.

“Ada sesuatu yang tak kena di situ. Ini jelas. Anda tak perlu jadi akauntan atau peguam untuk tahu ada sesuatu yang tak kena,” katanya.

Laporan WSJ hari ini menyatakan bahawa pada 2016, pegawai China memberitahu pegawai Malaysia bahawa kerajaan China akan menggunakan pengaruh untuk memastikan negara-nrgara lain termasuk AS menggugurkan siasatan ke atas 1MDB.

Sebagai balasan, kerajaan Malaysia menganugerahkan projek rel dan saliran paip kepada program ‘One Belt, One Road’ China.

Laporan WSJ juga menyatakan bahawa, perjanjian projek rel dan saliran paip bernilai AS$34 bilion ditandatangani oleh perdana menteri ketika itu Najib Razak dan China. Projek-projek berkenaan dikatakan akan dibiayai bank-bank China dan melibatkan pekerja dari China.

Memetik sumber, laporan itu turut menyatakan bahawa selain menganugerahkan projek kepada China, Najib juga mengadakan rundingan sulit bagi membenarkan tentera laut China berlabuh di dua pelabuhan Malaysia – Malaysia kini