IPOH – Kerajaan Harapan di Perak akan bertahan lebih lama berbanding Pakatan Rakyat yang hanya mampu mentadbir selama 11 bulan pada 2008.

Exco Kerajaan Negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, jangkaan itu dibuat berdasarkan sokongan baik kerajaan Pusat kini yang diterajui Harapan.

Katanya, sebelum ini ketika Pakatan Rakyat memerintah, pelbagai tekanan dihadapi kerana kerajaan pusat ditadbir oleh BN sehingga menyebabkan kerajaan yang dipilih rakyat di Perak ketika itu tumbang.

“Kerajaan Pusat hari ini merupakan kerajaan Pakatan Harapan. Jadi Perak hari ini mendapat sokongan, dorongan kuat daripada kerajaan pusat. Untuk itu kita rasakan kerajaan Pakatan Harapan di Perak boleh panjang hayatnya barangkali sepenggal atau lebih.

“Ketika Pakatan Rakyat, saya melalui zaman kuasa kerajaan negeri tidak boleh mengatasi kerajaan pusat kerana ketika itu kerajaan masih lagi BN. Jadi saya berhadapan suasana yang agak sukar kerana tidak mendapat sokongan penuh daripada kakitangan kerajaan di Perak dan di peringkat pusat,” katanya kepada Sinar Harian ketika sesi FB Live dengan tajuk Sejauh mana kerajaan Pakatan Harapan mampu bertahan di Perak, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan Harapan Perak mampu bertahan lebih lama jika mempamerkan prestasi lebih baik dengan menunaikan janji manifesto yang dikemukakan pada PRU14 lalu.

Mohammad Nizar berkata, Harapan mempunyai kekuatan tersendiri berbanding ketika Pakatan Rakyat yang berjaya membentuk kerajaan dalam keadaan tidak bersedia.

Katanya, Harapan Perak lebih bersedia membentuk kerajaan dengan membuat pelbagai persediaan ke arah membentuk kerajaan.

“Ada serba sedikit pengetahuan ketika 11 bulan memerintah Perak pada 2008 dahulu dan kita lebih bersedia mentadbir kerajaan negeri sekarang.

“Kita akan teruskan dasar-dasar baik sebelum ini yang dihentikan oleh kerajaan BN dan akan seragamkan juga dengan dasar-dasar baik yang dibuat oleh kerajaan BN tempoh hari kita akan teruskan bersama-sama,” katanya.

Mohammad Nizar berkata, kesepaduan antara komponen Harapan di Perak juga menjadikan kerajaan negeri akan terus kuat dan utuh – sinar