KUALA LUMPUR – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melabel kan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebagai ‘kerajaan karut’.

Ahli Parlimen Bera itu turut memetik ungkapan rakannya, Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Yahya Mat Ghani atau dikenali sebagai Abas Batu yang mengatakan “kerajaan PH kalau buka mulut saja, nampak kurang bijak”.

“Memang betul, menterinya umum sana umum sini tapi semua mengarut. Dasar baru tiada, harga getah turun, kita kata bagi RM200 sebulan masa musim tengkujuh tapi dia kata rugi.

“Jadi apa cadangannya, menoreh masa hujan. Teresa Kok (Menteri Industri Utama) ni, pokok getah pun dia tak kenal.

“Kalau kita bagi dia susu getah campur dengan sirap sikit memang dia minum,” katanya dalam ucapan pada Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Lembah Pantai di sini hari ini.

Sebelum ini, Teresa Kok pernah mengeluarkan kenyataan dalam Dewan Rakyat mencadangkan penoreh getah menoreh pada musim tengkujuh dan menggalakkan ekonomi campuran.

Begitupun, kenyataan beliau mendapat reaksi negatif pelbagai pihak meskipun Lembaga Getah Malaysia (LGM) menyatakan tiada masalah untuk menoreh pada musim hujan.

Ketua Pengarahnya, Dr Zairossani Mohd Nor berkata penoreh boleh menggunakan teknik torehan lewat, torehan ganti dan alat pelindung hujan untuk meningkatkan jumlah hari mereka boleh menoreh pada musim tengkujuh.

Dalam pada itu, Ismail Sabri menegaskan kerajaan hari ini kerajaan yang gagal kerana dibentuk bukan berasaskan perjuangan tetapi berasaskan penipuan.

“Tipu rakyat baru menang, gula-gulakan rakyat baru menang, fitnah Najib, fitnah Pas, segala-galanya fitnah.

“Akhirnya kalau kita menipu memfitnah akhirnya kebenaran terserlah jua. Akhirnya terserlah jua hari ini semuanya adalah penipuan daripada PH,” tegas beliau.

 

-SinarHarian