KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan tidak akan menaikkan kadar cukai korporat dan mengekalkan kadar sedia ada sebanyak 24 peratus ketika ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata sebaliknya kerajaan merancang untuk mengurangkan kadar cukai terbabit apabila kedudukan fiskal negara kembali sihat.

“Saya rasa tahap atau kadar cukai korporat boleh dikurangkan daripada 24 peratus ketika ini, tetapi sudah tentu ini bukan masanya.

” Apabila kedudukan fiskal kita pulih semula, dapat melihat hutang kerajaan dikurangkan, tetapi (pengurangan cukai korporat) bukanlah sekarang, dalam jangka pendek atau pertengahan.

“Namun mesej yang ingin kerajaan sampaikan ialah tiada kenaikan cukai korporat oleh kerajaan buat masa ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Seminar Percukaian Kebangsaan (SPK) 2018, di sini hari ini.Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Datuk Seri Sabin Samitah.

SPK adalah satu program pendidikan percukaian anjuran LHDN setiap tahun dan diadakan sebaik sahaja selesai pembentangan belanjawan tahunan.

Penganjuran seminar ini adalah yang kali ke-36 diadakan semenjak tahun 1974 dan pada tahun ini akan diadakan di 24 lokasi di seluruh negara.

Dalam perkembangan lain Guan Eng, berkata kerajaan akan mula membayar semula pulangan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan cukai pendapatan berjumlah RM37 bilion kepada syarikat dan individu yang terbabit bermula awal tahun depan.

“Jadi boleh dikatakan perkara membabitkan pulangan semula GST dan cukai pendapatan sudah selesai. Jangan buang masa bertanyakan soalan ini (di dalam seminar ini) kerana kerajaan menjamin akan membayarnya semula.

“Kerajaan tidak akan menggunakan walau ‘sekupang’ dari cukai yang dikutip dari rakyat ini, tetapi akan dipulangkan secepat mungkin kepada pemilik sebenarnya iaitu rakyat Malaysia,” katanya – berita harian