ALOR SETAR, 11 Jun- Kerajaan Kedah menafikan pemberian bonus tiga bulan gaji bersempena Hari Raya Aidilfitri kepada 5,000 penjawat awam negeri ini seperti yang tular di media sosial sejak semalam.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah menyifatkan penyebaran kenyataan itu sebagai tidak bertanggungjawab dan ia tidak lebih untuk memburukkan imej kerajaan negeri yang dipimpinnya.

“Ini tak logik dan tak rasional langsung. Negeri lain pun tak bagi, Selangor pun dua bulan setengah. Mereka yang buat kenyataan ini tidak patut buat dalam bulan puasa ni, Tidak pernah berlaku pun dalam sejarah di Kedah ini (bagi tiga bulan bonus),” katanya kepada pemberita pada program Ihya Ramadan buat balu, anak yatim dan anak istimewa warga polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini, hari ini

BERNAMA