IPOH: Kerajaan akan mengurangkan perkhidmatan jabatan secara bersemuka dengan pelanggan dan beralih ke arah perkhidmatan secara dalam talian.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Zainal Rahim Seman berkata, usaha itu dibuat bagi meningkatkan kecekapan dan ketelusan perkhidmatan yang ditawarkan, sekaligus mengurangkan persepsi negatif masyarakat terhadap penjawat awam.

Menurut beliau, walaupun ketika ini terdapat lebih 11,000 perkhidmatan yang ditawarkan di dalam talian, namun pihaknya percaya masih banyak perkhidmatan yang boleh diwujudkan bagi memudahkan rakyat berurusan dengan jabatan-jabatan kerajaan.

“Saya percaya melalui sistem teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), kita boleh melakukan banyak penambahbaikan.

“Pada masa depan nanti, apabila orang bercakap mengenai soal urus tadbir kerajaan yang baik, ia akan berkaitan ICT, jadi ini juga boleh mengurangkan persepi negatif masyarakat terhadap penjawat awam yang dikatakan bermacam-macam sebelum ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis interaksi Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam bersama pegawai-pegawai muda kerajaan negeri Perak di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, Zainal turut memberitahu, pihaknya kini sedang mengkaji sistem pencen yang diguna pakai kerajaan ketika ini.

“Pencen yang sedia ada pada masa kini masih kita teruskan seperti biasa dan berkemungkinan kita boleh lihat bagiamana untuk kita melakukan pembaharuan terhada sistem ini.

“Ini merupakan altenatif kerana banyak pihak yang mengemukakan idea untuk menguruskan pencen dan juga kita boleh melihat negara luar menggunakan pelbagai kaedah terbaharu untuk pencen, jadi kita hanya mengkaji untuk menambah baik,” jelas beliau.