KUALA KANGSAR – Kira-kira 40,000 penduduk di sekitar Kampung Baru Jerlun dan Manong, di sini bakal mendapat manfaat apabila projek menaiktaraf jalan Kuala Kangsar-Manong (A3) bernilai RM28 juta siap kelak.

Projek tersebut adalah untuk menaiktaraf jalan sedia ada dari Kuala Kangsar ke pekan Manong sepanjang tujuh kilometre dijangka siap Februari 2021.

Seorang penduduk Kampung Baru Jerlun, Goh Hong Weng, 54, berkata projek naiktaraf ini akan memberikan keselesaan kepada para pengguna jalanraya sekaligus mengurangkan kesesakan di waktu pagi.

“Saya merupakan penduduk di sini dan kami menghadapi masalah yang sama setiap pagi iaitu kesesakan jalan akibat jalan sempit. Terima kasih kepada kerajaan yang tidak mengabaikan permintaan kami dengan meningkatkan prasarana ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata projek ini membuktikan kerajaan menunaikan janji-janji yang diucapkan semasa manifesto Pilihanraya Kecil Kuala Kangsar pada 2016 yang lalu.

“Ini antara janji semasa PRK Kuala Kangsar yang telah ditunaikan oleh kerajaan Barisan Nasional dan saya difahamkan oleh Ahli Parlimen Kuala Kangsar Datin Mastura Mohd Yazid, lebih 90% manifesto telah berjaya direalisasikan.

“Untuk pengetahuan, dewan (Mini Arena Kampung Baru Jerlun) ini pun antara manifesto yang kita telah tunaikan, yang bernilai RM587,000 siap dalam tempoh lima bulan sahaja.

“Kerajaan mensasarkan agar projek ini yang bermula pada 28 Februari lalu akan siap lebih cepat iaitu dalam tempoh dua tahun,” kata Zainol Fadzi kepada sidang media selepas merasmikan majlis penyerahan surat setuju terima projek menaiktaraf Jalan Kuala Kangsar-Manong di Mini Arena Kampung Baru Jerlun hari ini.

Projek naiktaraf jalan ini yang dianugerahkan kepada Syarikat Pembinaan Caj Maju Sdn Bhd (SPCM), melibatkan pembinaan dua laluan lorong tunggal berbanding pada masa ini iaitu jalan satu lorong.

Kemudahan lain yang akan dibina sepanjang jalan ini adalah dua buah hentian bas di Kampung Jerlun manakala tiga buah jambatan akan dinaiktaraf di atas Sungai Jerlun, Sungai Ketior dan Sungai Kenas.

Turut hadir ialah Datin Mastura, Ahli Dewan Undangan Negeri Manong Datuk Mohamad Kamil Shafie, Ketua Pengarah Kerja Raya (JKR) Malaysia Datuk Seri Ir Dr Roslan Md Taha, Pengarah JKR Perak Ir Ahameed Tarmizi Ramli dan Pengarah Eksekutif SPCM Datuk Wira Jamaludin Jamal.

Menurut Zainol Fadzi, jalan ini antara jalan yang sibuk kerana ia adalah jalan utama untuk ke Parit dan Lumut selain laluan harian masyarakat setempat untuk pergi bekerja di bandar Kuala Kangsar dan pekan Manong.

“Setelah projek ini siap kelak, diharapkan ia akan meminimakan insiden kemalangan berikutan keadaan jalan sedia ada sempit dan mempunyai sebanyak 21 selekoh.

“Jalan ini juga boleh menjadi jalan alternatif sekaligus mengurangkan kesesakan di lebuhraya,” tambah beliau.