IPOH: Kerajaan negeri Perak mahu politiking dalam persatuan sukan di negeri ini dihentikan serta merta dan memberi fokus kepada Sukan Malaysia (SUKMA) 2018.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Shahrul Zaman Yahaya berkata, budaya tidak sihat itu bukan sahaja boleh menjejaskan satu-satu persatuan, malah meleburkan hasrat kerajaan negeri untuk menjuarai temasya berkenaan.

Sebaliknya, kata beliau, persatuan-persatuan sukan perlu menambah baik dari segi tadbir urus mereka dengan serta merta.

“Saya melihat politik dalam sesetengah persatuan sukan ini lebih hebat daripada parti politik, merebut jawatan dan hanya memilih atlit tertentu sahaja kerana atlit itu menyokong mereka,” katanya ketika menggulung Bajet 2017 Perak dalam Sidang DUN pada Jumaat.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu, kerajaan negeri ketika ini dalam proses menstrukturkan semula program-program pembangunan sukan sedia ada.

“Daripada post mortem selepas SUKMA 2016 di mana Perak berada di kedudukan 12, kita kenal pasti bahawa kita perlu kembali kepada asas iaitu menggunakan sistem yang diguna pakai beberapa tahun dahulu ketika negeri menjadi jadi sukan negara.

“Walaupun misi kita untuk menjuarai SUKMA 2018 nampak mustahil memandangkan tahun ini kita berada di tempat ke-12, tetapi tiada apa yang mustahil, kita yakin,” ujarnya.