BAGAN DATUK – Malaysia berasa terkilan dengan cadangan kerajaan Indonesia yang mahu menghentikan penghantaran pembantu rumah ke negara ini disebabkan kes penderaan yang disifatkan sebagai kes terpencil.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, dari segi statisiknya, Malaysia merupakan antara negara yang mencatatkan kes penderaan terhadap pembantu rumah dari Indoensia terendah berbanding beberapa negara lain.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid memberitahu, beliau akan bertemu dengan Menteri Tenaga Kerja Indonesia, Hanif Dakiri bagi mengadakan rundingan semula mengenai soal keselamat pekerja-pekerja serta pembantu rumah dari negara itu.

“Saya agak terkilan sekiranya benar mengikut laporan Indonesia yang akan menghentikan penghataran pembantu rumah ke negara kita disebabkan kes terpencil.

“Kerana secara realitifnya saya telah melihat beberapa data dari segi penderaan pembantu rumah biar pun ada berlaku penderaan namun kadarnya serta peratusnya adalah terendah. Ertinya kita ambil kepedulian terhadap kebajikan pemantu-pembantu rumah dari Indonesia di Malaysia,” katanya pada satu sidang media di sini pada Sabtu.

Tambah beliau, kerajaan Malaysia juga tidak akan melindungi mana-mana majikan yang didapati bersalah melakukan penderaan atau kezaliman kepada mana-mana pekerja asing.

“Kita mempunyai perjanjian di antara pihak majikan dan pekerja berkenaan yang harus ditandatangani supaya peraturan dan garis panduan itu dapat diikuti.

“Atas sifat kemanusiaan kita tidak akan pernah melindungi atau menyembunyikan sebarang fakta, dakwaan akan dilakukan, pengadilan akan dibuat oleh mahkamah Malaysia.

“Kita harap bakal-bakal pembantu rumah di Indoensia khususnya Kementerian Tenaga Kerja (Indonesia) melihat Malaysia sebagai negara berbeza dengan tindakan-tindakan yang pernah dilakukan,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri juga meminta Jabatan Tenaga Kerja dan Kementerian SUmber Manusia melakukan kajian semula terhadap SOP keselamatan pekerja asing.

“SOP keselamatan memang telah ada tetapi kita akan lihat semula perjanjian di antara majikan dengan pekerja berkenaan, jika mana-mana peraturan itu masih longgar.

“Saya harap Jabatan Tenaga Kerja dan Kementerian Sumber Manusia akan adakan kajian semula terhadap perjanjian serta SOP berkenaan.

Ahad lalu, seorang pembantu rumah, Adelina Lisio, 28, meninggal dunia di Hospital Bukit Mertajam setelah dipercayai didera oleh majikannya di sebuah rumah di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Menurut laporan, beberapa jiran mendakwa wanita berkenaan dipaksa tidur bersama seekor anjing jenis Rottweiler di anjung rumah selama lebih sebulan sebelum dia ditemukan pada Sabtu.