KUALA LUMPUR 20 Mac – Kerajaan Malaysia tidak memberikan layanan rasmi kepada delegasi Israel yang menghadiri Forum Bandar Sedunia ke-9 (WUF9) di sini Februari lalu.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, delegasi dari Israel itu tidak disambut oleh mana-mana pegawai Kementerian Luar serta tidak diberikan kawalan keselamatan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Urusan tersebut kita serahkan kepada Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) kerana delegasi Israel hadir pada forum tersebut atas jemputan PBB kerana kita tidak mengalu-alukan kedatangan mereka” katanya dalam sesi pertanyaan bagi jawab lisan pada sidang Dewan Rakyat hari ini. – UTUSAN ONLINE