IPOH – Satu kertas kerja bagi perancangan jangkamasa panjang Pulau Sembilan akan dibentangkan dalam masa terdekat bagi membantu kerajaan negeri membuat keputusan sama ada pulau yang terkenal sebagai syurga pemancing itu akan kekal ditutup atau dibuka semula.

 

Pengerusi Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Negeri Perak, YB Tan Kar Hing berkata ini berikutan kerja pemuliharaan Pulau Sembilan yang terletak di Bagan Datuk itu telahpun selesai.

“Mewakili pihak kerajaan negeri, saya sendiri telah pun membuat lawatan dan berpuas hati dengan kerja-kerja pemuliharaan yang telah dijalankan oleh pihak Jabatan Kerja Raya.

 

“Saya telah membentangkan laporan tersebut kepada pihak kerajaan dan kita dalam proses menyediakan satu kertas kerja bagi perancangan masa depan untuk pulau itu,” kata beliau dalam satu sidang media selepas menghadiri Jamuan Aidilfitri Tourism Perak di Hotel Casuarina@Meru pada malam ini.

 

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak Zuraida Md Taib dan Presiden Pelancongan Negeri Perak Datuk Mohd Odzman Abdul Kadir.

 

Beliau berkata sehingga kertas kerja itu siap, kerajaan negeri masih tidak dapat untuk memberi kata putus sama ada pulau itu akan kekal tutup ataupun akan dibuka semula.

 

Pulau Sembilan terkenal dengan air bercahaya biru terang atau ‘blue tears’, yang dihasilkan oleh sejenis phytoplankton seperti kelip-kelip, di pantai ketika waktu malam.

 

Produk pelancongan itu telah ditutup kepada orang ramai sejak 1 April tahun lalu susulan kemasukan pelancong yang tidak terkawal, selain Perbadanan Taman Negeri Perak mengesan ada pihak cuba membina struktur kekal di tapak perkhemahan di Pulau Lalang, Pulau Sembilan yang boleh merosakkan ekosistem di gugusan pulau berkenaan.

 

Sementara itu, YB Kar Hing berkata beliau telah mempengerusikan satu mesyuarat bersepadu di bawah portfolio beliau untuk melakarkan satu pelan induk pelancongan negeri yang akan menubuhkan satu Majlis Konsultasi.

 

“Majlis Konsultansi tersebut akan membantu memberi nasihat dan pandangan dalam memberikan pengisian di dalam pelan induk tersebut.

 

“Saya masih dalam proses untuk mengenal pasti anggota-anggota majlis tersebut dan sudah tentu mereka akan terdiri daripada stake holders, persatuan pelancongan, hoteliers,” kata beliau lagi.

Beliau juga menegaskan untuk mengambil mereka yang mempunyai kepakaran tertentu seperti pensyarah, ahli biologi, pencinta alam semulajadi dan arkitek untuk berkongsi pengetahuan dan kepakaran mereka.

 

“Kita akan merangka kerangka utama bagi pelan induk ini dan saya memberi sasaran dalam masa tiga bulan kita akan membentuk kerangka utama bagi pelan induk tersebut yang diketuai oleh majlis konsultasi dan semua agensi dan jabatan kerajaan,” kata beliau.