KOTA BHARU: Kerajaan masih menimbang untuk menaikkan kadar tambang bas ekspres antara 10 hingga 30 peratus, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Kamarudin Jaffar.

Kamarudin berkata, kementerian bersimpati dengan syarikat bas yang menanggung kos operasi dalam menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam kepada pelanggan.

“Kami sedar masalah yang ditanggung pengusaha bas yang terpaksa menanggung kos lebih tinggi dari semasa ke semasa.

“Bagaimanapun, setakat ini belum ada sebarang keputusan dibuat berhubung perkara itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Konsortium E-Mutiara Berhad (E-Mutiara), dan Scania Asia Tenggara, di sini, malam tadi.

Konsortium E-Mutiara diwakili oleh Pengerusi Eksekutifnya, Che Ibrahim Che Ismail, manakala Scania diwakili Pengarah Urusannya, Marie Sjodin Enstrom.

Sebelum ini, Kamarudin, dalam kenyataannya, berkata semakan mendapati kenaikan kadar tambang terakhir adalah pada 2009 iaitu sebanyak 31 peratus dan kementeriannya menimbangkan kenaikan munasabah bagi membantu pengusaha bas ekspres tanpa membebankan pengguna – berita harian