IPOH: Kerajaan negeri Perak menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan terhadap konsultan yang dilantik menguruskan Pusat Kerjaya Amanjaya (PEKA) kerana dipercayai melakukan pecah amanah dan tuntutan palsu mencecah jutaan ringgit.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Howard Lee Chuan How berkata, laporan mengenai salah laku itu sudah pun dibuat oleh Ahli Lembaga Pengarah PEKA sendiri, Datuk Zainol Fadzi Paharudin pagi tadi di pejabat SPRM, Ipoh dan kini terserah kepada pihak berkuasa untuk menyiasat perkara itu.

Menurut beliau, kegiatan itu mula terbongkar apabila Zainol telah menerima satu notis mahkamah daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang menyatakan PEKA mempunyai tunggakan selama lapan bulan caruman baru-baru ini.

“Setelah mendapat tahu hal itu, saya minta siasatan audit dalaman dijalankan, siasatan awal mendapati bukan sahaja caruman KWSP tidak dibayar, tunggakan bayar bulanan Telekom Malaysia juga telah mencapai RM30,000 dan tunggakan bayaran bulanan ruang pejabat mereka juga mencapai RM80,000 tidak dilangsaikan.

“Kita sedar akan kecuaian daripada pihak ahli lembagah pengarah namun begitu, pengarah syarikat konsultan telah memperdaya bukan sahaja mereka dan kakitangan PEKA, malah semua masyarakat di negeri ini,” katanya pada satu sidang media khas di sini, hari ini.

Tambah beliau, daripada audit dalaman yang dibuat itu juga, pembentangan dibuat oleh pengarah syarikat konsultan kepada lembaga pengarah itu juga kononnya PEKA telah berjaya menempatkan seramai 6,000 orang setahun untuk pekerjaan tidak benar sama sekali dan hakikatnya hanya 100 orang setiap tahun berjaya ditempatkan.

“Audit yang dilakukan sejak empat minggu lalu juga mendapati banyak transaksi yang mencurigakan di mana ia berkemungkinan membawa keuntungan peribadi syarikat konsultan.

“Pembentang daripada syarikat konsultan kepada lembaga pengarah sebelum ini menunjukkan kesemua bayaran telah dilaksanakan oleh mereka, namun hakikatnya segala pembentangan itu adalah tidak benar sama sekali,” ujar beliau.

Justeru katanya kerajaan negeri menyerahkan kepada SPRM untuk meneruskan siasatan bagi merungkai lebih banyak ketirisan yang berlaku di dalam syarikat milik penuh kerajaan negeri yang ditubuhkan pada 2011 bagi menangani masalah pengangguran yang dihadapi rakyat Perak.

Sehubungan itu, Howard memberitahu, kerajaan negeri juga telah mengambil keputusan untuk menstrukturkan semula PEKA dengan halatuju baharu serta melakukan penjenamaan semula.

“PEKA akan diberi nama baharu iaitu Perbadanan Aspirasi Anak Perak atau PASAK, ia akan memainkan satu peranan yang penting dalam mempersiapkan bakat muda Perak menjadi pemain penting mencorak ekonomi serta budaya yang lebih berdaya saing.

“Penstrukturan semula da penjenamaan ini akan dilaksanakan pada masa terdekat di mana ia akan menjadi satu keutamaan sewaktu merangka bajet Perak akan datang,” ujar beliau.

Pada 2012, pihak konsultan terbabit dilantik oleh pentadbiran terdahulu bagi melatih kakitangan PEKA untuk menguruskan agensi tersebut selama dua tahun.

Namun hakikatnya mereka masih menjadi konsultan kepada PEKA sehingga Mei 2018 yang lalu dengan memperdayakan Ahli Lembaga Pengarah.