IPOH – Kerajaan negeri akan membuat kajian teliti mengenai kedudukan sebenar taman tema Movie Animation Theme Park (MAPS) yang dikatakan mengalami kerugiaan jutaan ringgit sejak ia mula beroperasi tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan dan Pembangunan Koridor Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, satu perbicangan akan dilakukan bersama kesemua pihak yang terlibat dari MAPS dalam masa terdekat untuk mengetahui masa depan taman tema itu.

“Ianya amat-amat memerlukan perhatian kerajaan negeri dengan kadar segera kerana ia turut melibatkan kita melalui anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Perak, kita akan lakukan kajian serta analisis mendalam.

“Sejak ia mula dibina dan beroperasi kita dapat lihat kerugian yang dialami itu mengalir seperti darah, sekiranya tiada tindakan cepat diambil maka besar kemungkinan ia akan tumbang,” katanya ketika ditemui Suara Perak baru-baru ini.

Tambah beliau, sekiranya masalah kewangan taman teman itu amat membebankan serta tidak mempunyai sebarang langkah lain untuk diperbaiki ia berkemungkinan besar menghadapai risiko untuk ditutup.

“Itu adalah tindakan terakhir kita, namun kita akan berusaha dan melihat terlebih dahulu sekiranya ada pilihan lain yang kita boleh tukarkan daripada situasi buruk ini menjadi lebih positif kepada kita.

“Kita tidak mahu terus tutup tanpa kita cuba sedaya upaya perbaiki keadaan, ketika ini memang kerajaan negeri mempunyai beberapa pilihan untuk mengubah keadaan MAPS, hanya perlu sedikit masa,” ujar beliau.

Kata beliau, perbincangan itu dibuat bagi bertindak adil kepada semua pihak serta memberi ruang untuk pihak terlibat memberi penjelas terlebih dahulu kepada kerajaan negeri.

“Kita perlu akui segala maklumat yang diperolehi mengenai kerugiaan dan seabagainya hanya datang dari media dan pihak MAPS langsung tidak pernah menyangkal atau mengakui kesahihan berita terbabit.

“Jadi kita beri peluang untuk mereka bentangkan perancangan serta situasai semasa mereka, adakah keadaan sebenarnya tidak seburuk disangka atau sebaliknya, dari situ baru kerajaan negeri akan memikirkan langkah-langkah seterusnya,” ujar beliau.

Taman tema itu kini dimiliki oleh tiga pihak iaitu PCB Development Sdn Bhd (51 peratus), RSG MAPS sdn Bhd (34.3 peratus) dan seorang individu (14.7 peratus). Difahamkan kerajaan negeri memiliki pegangan saham sebanyak 26 peratus melalui PKNP dibawah anak syarikatnya.

Sebelum ini Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham menyelar sikap sambil lewa kerajaan negeri sebelum ini terhadap dana awam apabila MAPS mencatat kerugian sekitar RM24 juta setahun.