Sitiawan: Kerajaan Negeri akan segera memanggil pihak-pihak terlibat dengan penyediaan perkhidmatan bas Rapid Manjung untuk berunding mengenai langkah-langkah perlu bagi memastikan operasi bas awam di kawasan Manjung dapat diteruskan.

Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu berkata kerajaan negeri sedar dengan keresahan orang ramai mengenai tindakan syarikat yang mahu memberhentikan perkhidmatan bas berkuatkuasa 1 Ogos.

Menurutnya beliau akan menyegerakan rundingan tersebut bagi memastikan kemudahan pengangkutan awam di Manjung dan kehidupan mereka yang bergantung kepadanya tidak terjejas.

Beliau berkata perkhidmatan Rapid Manjung diwujudkan kerajaan terdahulu dengan kerjasama Prasarana dan pihak Berkuasa Pelaksanaan Wilayah Koridor Utara (NCIA) tetapi menghadapi masalah untuk meneruskan perhidmatan kerana tidak lagi dapat menampung kos operasi tinggi selepas PRU14.

Katanya lagi jumlah penumpang rendah yang direkodkan Rapid Manjung di setiap laluannya turut menjadi faktor mendorong syarikat itu mahu memberhentikan perkhidmatan.

“Kerajaan negeri ambil maklum dengan keresahan orang ramai pada ketika ini. Kita akan kaji kemampuan kerajaan negeri, kos operasi, jarak laluan dan tahap permintaan penumpang Rapid Manjung.

Kita akan berbincang dengan Prasarana untuk cari jalan terbaik kerana kita sedar perkhidmatan bas ini merupakan satu tanggungjawab sosial. Antara cadangan yang akan kita kemukakan adalah untuk syarikat kembangkan laluan ke kawasan luar bandar di mana permintaannya lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan hadiah Piala Pengarah Pendidikan Negeri Perak sempena Karnival Bahasa Melayu SJK(C) dan SJK (T) di SJK (C) UK Ing di sini petang tadi.

Ahmad Faizal mengulas mengenai kebimbangan pengguna sekitar Manjung mengenai pemberhentian operasi bas itu yang hanya bertahan selama lima bulan selepas dilancarkan.

Perkhidmatan Rapid Manjung yang mula beroperasi Mac tahun ini diusahakan pihak Berkuasa Pelaksanaan Wilayah Koridor Utara (NCIA) melibatkan dua laluan iaitu Seri Manjung ke Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut dan Laluan Dalam Bandar atau Manjung City Loop secara serentak dua hala.

Namun operasi bas itu mula menghadapi masalah sejak dua bulan lalu menyebabkan laluan ke Lumut telah ditamatkan dan tidak beroperasi selain jumlah bas juga dikurangkan daripada 10 kepada lima sahaja buat masa ini.

Menjawab satu soalan, Ahmad Faizal berkata kerajaan akan pastikan penduduk Manjung dapat satu berita gembira selepas rundingan bersama pihak terlibat selesai namun mengingatkan Prasarana supaya tidak meletakkan caj tinggi untuk tiket bagi setiap laluan yang disediakan.

Bercakap mengenai isu sama, beliau berkata selain Manjung, perkhidmatan bas di daerah lain tidak terjejas.

Katanya kerajaan negeri juga sedang mencari kaedah sesuai bagi memenuhi permintaan penduduk sekitar Gerik yang memerlukan perkhidmatan bas.

“Kita sedang cari jalan bagaimana untuk bantu orang di Gerik yang memohon kerajaan negeri sediakan perkhidmatan bas untuk mereka,” katanya.