IPOH – Kerajaan negeri akan mengambil pendekatan mencari jalan tengah dengan mendengar pendapat daripada kedua-dua belah pihak berhubung kemelut di antara pemaju dan petani di Changkat Kinding.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, sebagai kerajaan negeri yang bertanggungjawab terhadap kesemua rakyat, beliau perlu meneliti isu berkenaan secara lebih mendalam sebelum apa-apa tindakan dapat dibuat bagi memastikan tiada pihak yang teranaiya.

“Saya dapat maklumat sebelum ini pemaju telah pun memberi pampasan kepada peneroka yang meneroka tanah itu dan mereka juga (peneroka) telah tandatangani satu dokumen yang menyebut mereka tidak akan ambil apa-apa tindakan sekiranya pemaju meneruskan projek yang dirancangkan.

“Namun hari ini keadaan berbeza berlaku apabila mereka (peneroka) bersama wakil rakyat (ADUN Ulu Kinta) telah cuba mempertahankan tanah-tanah kebun mereka dan satu memorandum juga telah diserahkan kepada pejabat saya,” katanya pada satu sidang media di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan 50 petani di Changkat Kinding yang membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini mengenai isu pemberian tanah ganti kepada mereka oleh kerajaan negeri terdahulu, hari ini.

Tambah Ahmad Faizal, walaupun bersimpati dengan nasib petani-petani itu yang mendakwa diberikan tanah ganti tidak sesuai untuk dijadikan tanah kebun, namun kerajaan negeri perlu berlaku adil kepada semua pihak dan mengambil kira kepentingan awam.

“Sudah tentu tanah (ganti) itu diberi sedikit jauh dan sebagainya namun sebagai kerajaan kita misti fikirkan kebaikkan semua rakyat, kalau kita dah menceroboh tanah bukan milik kita, terima pampasan dan dapat tanah di tempat lain, (fikirkan) ramai lagi rakyat di luar sana tidak ada tanah pun.

“Kita misti adil kepada semua pihak, saya amat bersimpati terhadap nasib-nasib petani dan pekebun di negeri ini, saban hari saya berbincang bersama exco lain bagaimana nak selesaikan masalah peneroka tanah, namun dalam masa sama kita (peneroka) tak boleh terlalu memilih..kerana sesuatu tindakan itu demi kepentingan umum,” ujarnya.

Menteri Besar bagaimana pun bertegas tetap akan menyelesaikan kemelut ini secara adil bagi mencari situasi menang-menang di antara kedua-dua pihak.

“Jangan salah anggap, saya amat-amat bersimpati dengan mereka yang bergantung hidup dengan berkebun, kita akan cari jalan..kalau ditawarkan tanah itu terlalu jauh dan sebagainya sekali pun, mesti boleh berbincang, cari tanah lebih sesuai, bukan dengan cara kita melakukan pertikaian,” katanya.

Pada pagi Khamis, 50 petani yang diwakili ADUN Hulu Kinta dari PKR, Muhamad Arafat Varisai Mahamad telah membuat laporan SPRM kerana mendakwa berlaku penipuan dan pemalsuan dalam penyampaian pampasan apabila hanya 41 daripada 50 peneroka menerima pampasan yang dijanjikan manakala selebihnya diberikan kepada individu disyaki bukan peneroka di situ.

Muhamad Arafat dalam sidang medianya berkata, kemelut tanah itu bermula sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) di mana pentadbiran Barisan Nasional (BN) terdahulu memaklumkan tanah yang diusahakan kesemua peneroka berkenaan sejak 1960 akan diambil untuk tujuan pembangunan Racangan Perumahan Tersusun (RPT).

“Untuk keluar pihak syarikat dan pejabat tanah telah maklumkan akan beri pampasan dan tanah ganti di Simpang Pulai, peneroka dipaksa menerima, tanah gantian itu tidak sesuai untuk sayur-sayuran, mungkin sesuai untuk kepala sawit, itu pun perlu mengeluarkan wang sendiri untuk mengubahsuai dan meratakan tanah.

“Kami mohon Menteri Besar tolong batalkan rancangan RPT dan Projek perumahan di tanah berkenaan dan mengarahkan syarikat memberhentikan serta merta segala bentuk kerja pembangunan serta mengembalikan tanah berkenaan untuk tujuan pertanian khususnya sayur-sayuran,” ujarnya ketika menyampaikan memorandum kepada pejabat Menteri Besar.