GEORGETOWN: Kerajaan negeri sedia memberi taklimat berkaitan cadangan projek tambakan laut di selatan perairan Pulau Pinang (PSR) kepada mana-mana pihak termasuk Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, jika terdapat keperluan.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata pihaknya sudi memberi penjelasan walaupun perincian mengenai projek itu sudah dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN)

“Sebenarnya, apabila projek ini dibentangkan dalam MPFN, isu ini (kesan PSR) sudah pun dibentangkan dengan salah satu nasihat diberikan adalah untuk menangani isu impak kepada nelayan termasuk pertimbangan pemberian sagu hati dan ini memang sebahagian daripada proses.

“Kita juga mahu ulangi pendirian bahawa kebajikan nelayan tidak dipinggirkan apabila projek ini dilaksanakan. Walaupun tambakan dijalankan, nelayan masih boleh ke laut kerana ada laluan disediakan ketika kerja dijalankan.

“Nelayan dan keluarga mereka juga diberi kesempatan dalam projek ini, menerusi peluang pekerjaan dan keadaan kehidupan lebih baik,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Dr Mahathir berhubung kesediaan Kerajaan Persekutuan mengkaji dakwaan beberapa pihak mengenai projek PSR yang dikhuatiri akan menjejaskan nelayan dan alam sekitar.

Semalam, lebih 100 peserta daripada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan nelayan berjalan dari kawasan Tugu Negara di ibu negara bermula jam 8.45 pagi sebelum berhenti kira-kira 100 meter dari pintu pagar Bangunan Parlimen selepas dihalang anggota polis.

Selepas berkumpul hampir 30 minit, polis membenarkan 10 peserta diketuai Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader masuk ke pekarangan Bangunan Parlimen bagi menyerahkan memorandum bantahan projek PSR kepada wakil Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

Kon Yeow berkata, kerajaan negeri ada menerima tuntutan daripada Persatuan Nelayan Pulau Pinang (PEN Mutiara) sebagai pampasan kepada nelayan jika projek PSR diteruskan, pada 31 Mei lalu.

“Dalam pertemuan itu, wakil PEN Mutiara mengemukakan ‘ex-gratia’ menerusi Pelan Transformasi Bot Terkini supaya kerajaan negeri menyediakan peralatan bot terkini kepada tekong, selain rumah kos rendah yang boleh terus dibeli atau disewa beli.

“Melalui tuntutan sama, mereka juga mahu kerajaan negeri menyediakan rumah kos rendah kepada awak-awak yang akan terjejas, selain membina jeti sementara yang kondusif,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Nelayan bagi PSR, Dr Afif Bahardin, berkata kerajaan negeri dijangka mengadakan mesyuarat dengan PEN Mutiara, September depan.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, berkata ia bagi membincangkan pilihan pampasan kepada nelayan yang akan terjejas dengan projek itu.

“Pasukan petugas ini akan mula bincangkan model sagu hati atau apa-apa tuntutan dikemukakan nelayan untuk kita pertimbang dan melakukan proses rundingan,” katanya.

 

BERITA HARIAN