IPOH – Kerajaan Perak sentiasa memberi pelbagai bantuan kepada masyarakat Orang Asli di negeri ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Beliau berkata pihaknya sentiasa mengambil berat mengenai keperluan masyarakat minoriti itu namun mereka perlu menunjukkan kesungguhan dan berusaha sekiranya mahu meningkatkan taraf kehidupan yang lebih baik dan selesa.

“Sebagai contoh, jika sesuatu kawasan (penempatan) Orang Asli itu sesuai dijadikan sebagai kawasan pelancongan, mereka mulakan dulu dan apabila ia mendapat sambutan, sudah tentu pihak kerajaan negeri akan memberikan bantuan.

“Saya mahu menjadikan rakyat Perak menjadi orang yang hebat, bukan hendak jadikan orang yang lemah seterusnya negeri ini dipandang rendah oleh orang ramai,” katanya pada sidang media di luar Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Jumaat lalu, Ahmad Faizal semasa merasmikan program masyarakat bersama pemimpin di Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Musuh LZ (Landing Zone) di Tapah dilaporkan berkata budaya meminta minta dalam kalangan masyarakat Orang Asli perlu dihapuskan sekiranya masyarakat itu mahu terus maju.

Kenyataan itu mendapat reaksi pelbagai pihak termasuk bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang menyifatkan kenyataan Ahmad Faizal itu sebagai satu penghinaan terhadap masyarakat Orang Asli di negeri itu.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Faizal telah meminta Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Perak (JPNPk), Datuk Mohamed Zin Yusop supaya mencari kaedah baharu untuk memohon permit memasuki Hutan Simpan Kekal (HSK) di Hutan Simpan Piah dekat Sungai Siput.

“Saya telah minta beliau (Pengarah Perhutanan negeri) supaya
mengeluarkan permit tanpa menyukarkan orang awam terutamanya pelancong untuk memasuki hutan berkenaan.

“Sebagai contoh, orang ramai boleh memohon permit secara dalam talian atau mengeluarkan permit terus dari sana. Kita nak orang ramai ‘enjoy’ dengan warisan dunia dan hutan kita yang indah tetapi dalam masa sama, kita perlu menjaga hutan simpan ini,” katanya.

Pada Jumaat, Mohamed Zin dalam satu kenyataan berkata larangan memasuki Hutan Simpan Piah tanpa permit kepada orang awam bertujuan untuk menjaga keselamatan mereka dan perlu memperolehi permit memasuki HSK tertakluk kepada Seksyen 47 Akta Perhutanan Negara 1984.

Khamis lepas, media melaporkan kira-kira 800 penduduk Orang Asli suku Temiar dari empat perkampungan di Pos Kuala Mu menyuarakan bantahan terhadap Jabatan Perhutanan yang mengeluarkan arahan menetapkan pengambilan permit masuk hutan untuk ke kawasan pelancongan di situ.

Arahan itu bagaimanapun tidak dimaklumkan kepada penduduk Orang Asli sebaliknya hanya diketahui apabila anggota Jabatan Perhutanan membuat sekatan sebelum masuk ke kawasan itu.

BERNAMA