SUNGAI SIPUT – Kerajaan negeri bercadang untuk mewujudkan program “Pokok Angkat” bagi memastikan kelestarian hutan di Perak dapat terus dipelihara dan terjamin, katanya Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu.

Beliau berkata, cadangan berkenaan ketika ini sedang dikaji dengan teliti dan beberapa aspek juga sedang diambil kira khususnya dari sudut kosnya yang tinggi serta keperluan komitmen yang tinggi dari semua pihak.

“Orang ramai meminta kerajaan tidak menebang hutan, jadi jika itu dilakukan (tidak tebang) kerajaan negeri tidak dapat pendapatan menerusi penebangan pokok atau hasil hutan, jadi cara lain masyarakat perlu beri sumbangan.

“Menerusi program pokok angkat orang ramai dapat memberi sumbangan dengan cara membeli pokok, tidak perlu bayar sekali gus boleh bayar secara bulanan mengikut kemampuan agar wang itu dapat digunakan bagi menjaga hutan,” katanya selepas merasmikan majlis sambutan Hari Hutan Antarabangsa peringkat negeri di Pos Kuala Mu di sini pada Khamis.

Ahmad Faizal dalam ucapannya sebelum itu juga menyeru agar pemikiran lama bahawa kekayaan daripada hasil hutan adalah daripada aktiviti menebang balak semata-mata dapat diubah.

“Kita mesti belajar bagaimana negara lain menjadikan khazah alam semulajadi sebagai sumber pendapatan yang lumayan hasil daripada aktiviti ekopelancongan yang menjana pendapatan bernilai jutaan ringgit.

“Kita menyedari kepentingan sektor pembalakan kepada hasil negeri dan sektor pembuatan produk berasaskan kayu kepada ekonomi negara, tetapi kita mesti mengimbangi perkara ini dengan kepentingan jangka masa panjang untuk memelihara khazanah ini,” ujar beliau.

Tambahan Menteri Besar kerajaan negeri ketika ini sedang giat menjelajahi potensi penjanaan hasil lain yang boleh dijana dari hutan dan bukan semata kayu kayan sahaja, ia termasuklah potensi penjualan karbon menerusi program penghutanan semula bersama pihak berkepentingan.

Perak mempunyai hutan simpanan kekal seluas 991,328.05 hektar daripada jumlah itu, tanah seluas 516,445.70 hektar atau 52 peratus dikelaskan sebagai hutan pengeluaran.

Manakala bakinya iaitu sebanyak 48 peratus lagi dirizabkan khusus untuk perlindungan seperti hutan tadahan air, hidupan liar dan pelindungan tanah tinggi.