IPOH– Ahli Dewan Undangan Negeri Razman Zakaria (Gunung Semanggol) mendesak kerajaan negeri mendedahkan kes individu tertentu yang memiliki keluasan tanah luar biasa yang didakwa berlaku di satu kawasan kampung di negeri ini.

Beliau memberi contoh terdapat sebuah kampung di negeri ini yang telah diduduki seorang penduduk selama 30 tahun namun gagal untuk mendapatkan hak milik kerana tanah berkenaan dimiliki oleh individu lain.

“Sebelum Pilihanraya Umum ke-14, saya telah pergi ke sebuah kampung apabila diberitahu oleh penduduk bahawa tanah dan kebun yang didudukinya milik orang lain.

“Tanah diduduki untuk kehidupan, saya minta kerajaan Pakatan Harapan tolong selesaikan isu ini, ribuan ekar dimiliki oleh individu tertentu di negeri ini,” katanya semasa membahaskan titah ucapan Paduka Seri Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada Sidang Dewan Negeri.

Razman yang juga Pesuruhjaya PAS Perak turut meminta pembabitan wakil rakyat pembangkang dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Daerah bagi mengimbangi peranan mereka untuk kemajuan negeri.

“Penglibatan bersama ADUN pembangkang dalam mesyuarat ini penting agar segala keputusan yang dibuat bersama dapat mencapai manfaat dalam membantu memenuhi keperluan rakyat,” katanya.