IPOH- Kerajaan negeri diminta campur tangan membantu pengusaha-pengusaha ikan hiasan Arowana di Bukit Merah yang sedang mengalami kelembapan dalam persaingan perniagaan.

Datuk Sham Mat Sahat (BN – Alor Pongsu) berkata, pihak Jabatan Perikanan khususnya, perlu mengambil langkah membantu penternak ini untuk meneruskan usaha mereka.

Beliau mencadangkan kerajaan mengadakan kursus di samping membantu pemasaran yang lebih baik kepada mereka.

“Untuk makluman, kawasan ternakan ikan Arowana ini seluas 400 hentar (1,000 ekar) yang telah diluluskan oleh kerajaan negeri menukar syarat daripada sawah padi kepada zon Arowana.

“Jadi amatlah malang jika usahawan ikan ini dibiarkan begitu saja tanpa bantuan dan tunjuk ajar dari Kerajaan Negeri,” katanya semasa membahas Bajet 2017 di Dewan Negeri pada Khamis.

Isu itu turut mendapat sokongan Datuk Ngeh Koo Ham (DAP – Sitiawan) yang mencelah sambil meminta kerajaan negeri mengambil perhatian terhadap nasib masa depan usahawan ikan hiasan itu.

Sham berkata, kawasan itu yang telah dibina kolam yang banyak dan dalam, tidak lagi sesuai untuk tanaman semula padi.