IPOH – Kerajaan negeri telah menetapkan beberapa perancangan jangkamasa pendek dan panjang untuk membela dan meningkatkan pendapatan nelayan darat.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam Dan Infrasrtuktur, Pertanian Dan Perladangan YB Abdul Yunus Jamahri berkata sehingga Jun 2018, bilangan nelayan darat yang berdaftar di negeri ini adalah seramai 2,224 orang, 767 orang terdiri daripada nelayan tulen dan 1,457 nelayan sambilan.

“Dari segi perancangan jangka pendek, kerajaan negeri akan meneruskan program pelepasan benih ikan di perairan umum untuk meningkatkan sumber ikan di sungai, tasik, bekas lombong dan empangan.

“Kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM200,000 setiap tahun untuk program ini dan dianggarkan sebanyak dua juta benih ikan dan udang akan dilepaskan di perairan umum untuk tahun 2018,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Saarani Mohamad (BN-Kota Tampan) di Mesyuarat Kedua, Penggal Pertama Dewan Negeri ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan hari ini.

“Kerajaan negeri juga telah merancang beberapa perancangan jagka masa pendek iaitu membanteras penggunaan peralatan haram yang merosakkan sumber perikanan seperti penggunaan elektrik untuk menangkap ikan, bom ikan dan pukat rentang serta mencegah pencerobohan oleh nelayan yang tidak berlesen, mengurangkan tekanan terhadap sumber perikanan dengan menghadkan bilangan nelayan di setiap tempat.

“Kajian caring capacity akan dijalankan di setiap perairan untuk menentukan stok sumber perikanan berbanding nisbah bilangan nelayan darat demi menjamin kelestarian sumber perikanan,” tambah beliau.

Beliau turut menyenaraikan langkah jangkamasa panjang yang telah dirancang untuk membantu para nelayan darat iaitu menerapkan program kesedaran di kalangan nelayan tentang kepentingan penglibatan nelayan di dalam penjagaan dan pengurusan sumber perikanan dengan mewujudkan komuniti setempat nelayan dalam menjaga ekosistem setempat, mengurangkan factor pencemaran sungai, tasik, bekas lombong serta lain-lain perairan umum yang menyebabkan sumber perikanan kian merosot serta mewujudkan industri hiliran atau lain-lain yang berasaskan ikan di setiap komuniti nelayan agar dapat meningkatkan lagi pendapatan nelayan darat.

Menjawab kepada soalan sama ada kerajaan negeri akan meneruskan pemberian insentif sara hidup RM200 sebulan kepada semua nelayan darat di Perak, sekiranya kerajaan pusat menghentikan pembayaran itu, Abdul Yunus berkata bantuan itu akan diteruskan sehingga tahun 2020.

“Kerajaan pusat melalui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah memberi jaminan bahawa elaun sara hidup nelayan darat sebanyak RM200 sebulan akan diteruskan sehingga tahun 2020.

“Kerajaan juga akan melakukan pemutihan terhadap mereka demi untuk memastikan hanya mereka yang benar-benar layak sahaja yang boleh menerima bantuan tersebut.

Abdul Yunus berkata, seramai 755 orang nelayan darat telah menerima elaun sara hidup.

Pada 2017, pengeluaran ikan dari perikanan darat adalah sebanyak 1,856 metrik tan yang bernilai RM25.7 juta. Manakala kutipan hasil negeri adalah sebanyak RM22,240 yang dikutip daripada fi lesen nelayan darat.