Oleh:Nazialita Geynna Maharan

SUNGAI SIPUT: Kerajaan Pakatan Harapan Perak bakal menggerakkan semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk mengambil perkampungan terpilih Orang Asli di negeri ini bagi memberi bantuan secara pendekatan mikro.

Menteri Besar Perak, YAB MB Ahmad Faizal Azumu berkata inisiatif tersebut perlu dilaksanakan secara mendalam dengan pendekatan berbentuk kekeluargaan di antara GLC dan masyarakat orang asli.

Beliau menegaskan pihak GLC perlu menjalinkan hubungan erat dengan komuniti tersebut kerana masalah di setiap perkampungan orang asli adalah berbeza dan unik.

“Masalah dari satu kampung ke kampung yang lain amat unik, (seperti) begitu juga dalam satu keluarga. Kalau pihak GLC dapat gemblingkan tenaga, pekerja-pekerja mereka, dekati secara mikro, saya yakin mereka akan dapat menyelesaikan apa juga masalah di kampung tersebut.

“Contohnya, apabila kita anggap kampung itu sebahagian daripada keluarga kita, maka kita akan berikan perhatian lebih dan satu persatu masalah dalam isi rumah tersebut dapat diselesaikan,”katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Pelancaran Pusat Komuniti Bestari Samsung, di RPS Pos Legap, di sini,hari ini.

Justeru, Ahmad Faizal memberi komitmen bahawa pihaknya dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) akan sentiasa memberi kerjasama kepada GLC yang berminat untuk menyahut cabaran berkenaan.

“Saya dapati ramai golongan ibubapa muda kaum Orang Asli yang ingin berhijrah dan mendapat kehidupan lebih daripada yang sedia ada di kampung, cuma kurang mendapat pendedahan atau peluang yang sama seperti di luar (bandar).

“Jadi inilah peranan yang boleh dimainkan oleh GLC,saya percaya JAKOA juga memainkan peranan penting,…cuma ianya terbatas dari segi kakitangan dan pegawai serta kawasan penempatan Orang Asli yang luas. Kita beri kerjasama secara bersama, maka masalah itu akan kita selesaikan secara tuntas,”ujarnya lagi.