IPOH – Kerajaan negeri berhasrat melihat lebih ramai pelabur menjadikan Perak sebagai negeri yang boleh menjana hasil dan mengembalikan manfaat kepada kerajaan negeri dan rakyat negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan dan Pembangunan Koridor Negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata sebagai sebuah kerajaan baru, ia berharap dapat menunjukkan sifat mesra dengan semua pengusaha yang terlibat dalam pelbagai sektor.

“Hari ini kerajaan mempamerkan satu sikap mesra pelabur, mesra industri lebih-lebih lagi industri yang berkecimpung dalam bidang mesra alam. Mudajaya misalnya dengan projek mereka untuk menjana 49 megawat di Kuala Kangsar merupakan satu usaha yang selaras dengan fitrah alam ini.

“Kita ucapkan ribuan terima kasih kerana perjalanan hampir 50 megawat ini akan beri kebaikan bukan hanya pada Tenaga Nasional Berhad tapi akhirnya akan menyerlahkan bahawa kita juga berkemampuan untuk mengadakan industri yang mesra alam,” kata beliau dalam ucapan di Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Sinar Kamiri di Casuarina@Meru, di sini, hari ini.

Sinar Kamiri adalah anak syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh Mudajaya RE Sdn Bhd, anak syarikat tidak langsung milik penuh Mudajaya Group melalui anak syarikat milik penuhnya, Mudajaya Energy Sdn. Bhd.

Menurut Mohammad Nizar, beliau difahamkan bahawa hanya tinggal sekitar enam peratus kerja yang perlu disiapkan untuk membina loji tenaga solar itu.

Sejumlah 188,000 panel solar diperlukan loji itu dan oleh kerana saiznya agak besar, panel-panel tersebut terpaksa diimport dari luar Negara, tambah beliau.

“Besar kemungkinan tak lama lagi kita akan ada industri samada di Perak atau di Malaysia panel-panel tersebut yang dikeluarkan pengeluar tempatan tanpa kita buat tempahan daripada luar.

Kita boleh menggunakan sumber-sumber asal daripada negeri Perak untuk membuat panel solar dan akhirnya digunakan oleh pihak ketiga,” katanya.

Beliau berkata Perak juga memberikan tumpuan kepada pengusaha-pengusaha solar panel di seluruh dunia untuk mereka mencipta dan menggunakan sumber dari negeri ini untuk  mengeluarkan panel solar, katanya.

“Bukan hanya Mudajaya tapi akan ada lagi anak-anak syarikat, syarikat-syarikat lain, firma-firma lain yang boleh menjana tenaga menggunakan solar panel yang dibuat di negeri Perak,” katanya lagi.

Sementara itu, Pengerusi Mudajaya Group Berhad Datuk Yusli Mohamed Yusoff berkata Sinar Kamiri terlibat dalam mereka bentuk, membina, memiliki, mengendali dan menyenggara satu kemudahan tenaga solar fotovoltan yang mampu menjana 49 megawatt di kawasan Sungai Siput, Perak.

“Projek ini memberi kesempatan kepada Mudajaya Berhad untuk memberi sumbangan dari segi paparan teknikal kepada rakyat Perak.

“Perjanjian pembelian tenaga (PPA) yang melibatkan TNB dan Sinar Kamiri  itu mempunyai satu jangkaan tarikh operasi komersil pada 31 Ogos 2018, mentadbir obligasi pihak-pihak terbabit untuk menjual dan membeli tenaga yang dijana oleh kemudahan terbabit bagi tempoh 21 tahun dari tarikh operasi komersil selaras dengan terma dan syarat yang telah dipersetujui,” kata beliau.

Dalam majlis itu yang dihadiri kira-kira 500 orang itu, Sinar Kamiri menyerahkan sumbangan bernilai RM10,000 setiap satu kepada Rumah Seri Kenangan Ulu Kinta, Ipoh dan Yayasan Amanah An Nur Maisarah, Chemor – berita harian