IPOH – Pusat Kerjaya Amanjaya (PeKA) mendapat pengiktirafan kerajaan negeri hari ini di atas segala usaha dan peranannya dalam membantu golongan belia di negeri ini mendapat pekerjaan.

Exco Sumber Manusia A.Sivanesan berkata justeru kerajaan negeri akan memberi komitmen sepenuhnya kepada PeKA untuk mencapai objektif penubuhannya.

“Saya selaku exco Sumber Manusia berjanji akan beri kerjasama sepenuhnya kepada PeKA dalam segala aktiviti supaya kita berjaya mencapai matlamat penubuhannya.

“Mereka (PeKA) selama ini telah melakukan kerja yang baik dalam membantu belia dan masyarakat di Perak khasnya untuk mendapatkan pekerjaan,” kata Sivanesan yang juga merupakan Exco Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Masyarakat Sivil, Integrasi Nasional.

Beliau berkata demikian di majlis berbuka puasa anjuran PeKA bersama anak-anak yatim Rumah Anak Yatim Yayasan Amanah An-Nur Maisarah, Chemor malam tadi.

Pada majlis itu, seramai 53 anak-anak yatim terdiri daripada

29 yang berusia 12 tahun ke bawah, 17 kanak-kanak berusia antara 13 hingga 15 tahun dan tujuh kanak-kanak berusia 16 dan 17 tahun diraikan.

Mereka turut menerima sumbangan dan duit raya.

Program tersebut merupakan kerjasama di antara PEKA, Carsem (M) Sdn Bhd dan Taman Tema Animasi Movie Animation Park Studios (MAPS).

Sumbangan telah disampaikan Sivanesan, Exco Belia Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Howard Lee Chuan How, dan Ketua Pegawai Eksekutif PEKA, Ameron Zulqarnaen.

Sivanesan dalam ucapannnya berkata, beliau amat menghargai usaha pihak terbabit yang menganjurkan program itu demi meraikan insan istimewa pada bulan mulia ini.

“Terima kasih dan tahniah kepada PeKA yang merupakan agensi pekerjaan di bawah pelan pembangunaan kerajaan negeri Perak kerana membantu mengembirakan kanak-kanak ini,” ujarnya pada program yang diadakan di Home Of Silveryouth, di sini.

Program tersebut dimulakan dengan ucapan exco yang hadir dan disusuli majlis berbuka puasa serta solat maghrib berjemaah.

Ia kemudian disambung dengan jamuan makan, solat isyak berjemaah, solat terawih berjemaah dan tazkirah ringkas.