IPOH – Kerajaan negeri yakin segala manifesto Pakatan Harapan Perak yang dijanjikan kepada rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan dilaksanakan pada tahun ini juga.

Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu berkata, beliau telah mengarahkan kesemua exco kerajaan negeri untuk memulakan tugas ke arah melunaskan janji-janji yang ditawarkan sebelum ini.

“Saya juga telah bincang bersama pegawai kewangan negeri dan beliau juga telah memberi satu komitmen kepada kerajaan sedia ada untuk melaksanakan segala tawaran dan janji PH pada tahun ini juga.

“Kalau boleh dalam masa 100 hari ini juga kita misti mulakan meringankan beban rakyat, seperti air percuma dapat diberikan keapda golongan sasar,” katanya ketika berucap pada Majlis Iftar Perdana Menteri Besar Perak dan Ketua Umum PH di Manjoi, di sini pada Selasa.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat di negeri ini untuk memberi peluang serta ruang seluas-luasnya kepada kerajaan negeri untuk menunaikan segala yang dijanjikan.

“Saya percaya tentu akan berlaku beberapa perkara yang tidak dapat dilaksanakan dengan cepat, kerajaan kita perlukan sedikit momentum dan usaha yang kuat.

“Tetapi saya amat yakin dengan sokongna padu rakyat yang membatu kita mengambil alih kerajaan daripada Barisan Nasional (BN) sebelum ini, ia akan memberi semangat luar biasa untuk kita bekerja ke arah tersebut (melunaskan janji manifesto),” ujarnya.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal turut berkata PH Perak akan bersikap terbuka menerima mana-mana individu namun mereka perlu ikhlas serta jujur dalam tindakan yang dibuat tersebut.

“Bagi mereka yang baru sekarang nak sedar diri, kita akan jumpa sambut seperti biasa, jasa pengorbanan (ahli-ahli PH) yang dari dulu berjuangan juga dalam masa sama kita hargai dan tidak akan lupai.

“Ada kawan-kawan sedar lambat sedikit, tapi mereka perlu mula dari bawah, tidak boleh terus nak rapat dengan Menteri Besar untuk kejar projek dan sebagainya, minta ampun minta maaf,” kata beliau.