IPOH – Kerajaan negeri Perak menyatakan komitmennya membantu pihak pengurusan Pusat Pendidikan Al Barakah di Manjoi yang diasaskan serta dikendalikan oleh penceramah bebas Datuk Mohd Ustaz Kazim Elias yang kini berdepan masalah kewangan.

Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu berkata, kerajaan negeri akan berbincang dengan pihak pengurusan untuk mengenal pasti kaedah sesuai bagi mebolehkan pusat tersebut terus beroperasi seperti biasa dalam masa terdekat.

“Untuk makluman, pihak kerajaan negeri tidak dimaklumkan mengenai kekangan dana yang dihadapi oleh pihak pengurusan Pusat Pendidikan Al Barakah sehinggalah isu berkenaan dilaporkan oleh pihak media dan ditularkan di media sosial.

“Bagaimanapun, saya komited untuk membantu pengurusan Pusat Pendidikan Al Barakah demi kepentingan para pelajar dan para kakitangannya, saya dengan ini menzahirkan keprihatinan dan komitmen untuk membantu pihak pengurusan pusat terbabit,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan sebentar tadi.

Tambah beliau, kerajaan negeri juga menyambut baik keputusan Ustaz Kazim untuk menangguhkan cadangannya sebelum ini berkenaan penjualan Unit Tahfiz Al-Quran di pusat itu sementara perbincangan dapat dilakukan bersama kerajaan negeri.

“Dalam pada itu juga, mengenai fitnah kononnya kerajaan Pakatan Harapan telah mengharamkan Datuk Mohd Kazim Elias dari berceramah, ingin saya tegaskan kerajaan negeri tidak pernah sama sekali, secara langsung atau tidak langsung mengeluarkan arahan sedemikian.

“Biarpun begitu, secara peribadi saya memaafkan pihak tidak bertanggungjawab yang terlibat menyebarkan fitnah berkenaan serta mendoakan semoga mereka mendapat pengampunan dan petunjuk dari Allah SWT,” ujar beliau.

Pada Selasa, Mohd Kazim telah mengesahkan akan menjual Unit Tahfiz Darul Barakah yang menempatkan sekitar 100 pelajar kerana tidak mampu menampung kos pentadbiran pusat tersebut yang melibatkan kos mencecah RM150,000 sebulan.

Mohd Kazim berkata, ia berikutan beliau tidak lagi mendapat panggilan kuliah serta ceramah.