IPOH: Kerajaan negeri Perak komited untuk membetulkan apa juga kesilapan yang berlaku di taman animasi, Movie Animation Park Studios (MAPS) yang menyebabkan beberapa segmen masih belum dapat dibuka.

Sehubungan itu, Menteri Besar, YAB Ahmad Faizal Azumu berkata, beliau mahu rakyat yang hadir di Rumah Terbuka Aidilfitri pada 1 Syawal ini melihat sendiri apa masalah yang sedang dihadapi di taman animasi itu.

Menurut beliau, sempena rumah terbuka itu, seluruh kawasan di MAPS akan dibuka kecuali beberapa permainan seperti roller coster kerana masalah keselamatan dan juga spesifikasi yang tidak menepati syarat.

“Saya suka menarik perhatian orang ramai yang akan hadir tentang apa masalah yang sedang kita hadapi di taman tema tersebut.

“Saya juga ingin menunjukkan kepada orang ramai bahawa saya amat komited untuk memperbetulkan apa juga kesilapan yang telah dibuat di tempat itu dan akan diperbaiki dan memperbetulkan dan akan dapat selesaikan dapat masa yang terdekat, insya Allah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas wawancara di Perak FM bersama isteri beliau, YABhg. Dr. Nomee Ashikin Mohammed Radzi di sini, hari ini.

YAB Ahmad Faizal berharap warga Perak, khususnya mereka yang tinggal di sekitar Ipoh dapat meluangkan masa mengunjungi rumah terbuka itu.

Menurut beliau, selain dapat menikmati jamuan hari raya, beberapa hiburan telah disusun dan antara artis yang akan menghiburkan pengunjung ialah Datuk Jamal Abdillah, Datuk M Nasir dan Zamani Slam.

“Saya akan bersama-sama barisan Exco dan pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri Perak akan turut berada di sana menerima kunjungan orang ramai,” ujarnya.

Dalam pada itu, Menteri Besar turut berharap agar para pengunjung dapat menjaga kebersihan MAPS, lebih-lebih lagi ia akan diadakan di tempat terbuka di dalam taman animasi itu.

Bagaimanapun, kata beliau, pihak MAPS dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan menyediakan pasukan yang ramai untuk memastikan kebersihan sentiasa dijaga.

Berdasarkan pengalaman lalu, beliau menjangkakan kira-kira 20,000 pengunjung akan hadir pada rumah terbuka itu.