IPOH –  Kerajaan negeri pimpinan Pakatan Harapan akan meneruskan usaha-usaha untuk memerangi masalah dadah di negeri Perak tanpa memandangnya sebagai sesuatu yang remeh terutamanya isu penagihan dadah dalam kalangan pelajar sekolah dan remaja.

 

Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Sosial, Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Kebajikan Masyarakat YB Wong May Ing berkata kerajaan negeri menyedari akan kesan negatif daripada penyalahan guna najis dadah dan sedar ianya perlu ditangani secara holistik dan bersama.

“Untuk tujuan tersebut, kerajaan negeri bersama dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan, polis dan jabatan-jabatan berkaitan akan meneruskan perancangan program-program berdasarkan teras-teras program seperti yang telah digariskan di dalam Dasar Dadah Negara iaitu pendidikan pencegahan, rawatan dan pemulihan, penguatkuasaan, pengurangan kemudaratan dan kerjasama antarabangsa.

“Di samping itu, kerajaan negeri juga akan meneruskan Pelan Tindakan Strategik Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Perak Darul Ridzuan 2015-2020 yang mengandungi 5 Pelan Tindakan Strategik iaitu pelajar bebas dadah, pekerja bebas dadah, komuniti bebas dadah, keluarga bebas dadah dan pemutihan kawasan hotspot,” kata beliau.

 

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan perbahasan di Sidang Dewan Undangan Negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

 

Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Remis itu berkata, kerajaan negeri juga akan memperkasakan peranan Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) peringkat negeri yang dipengerusikan oleh Menteri Besar YAB Ahmad Faizal Azumu serta MTMD Peringkat daerah yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah dalam usaha untuk menyelaras tindakan bersepadu antara agensi dan jabatan yang terlibat supaya memainkan peranan pencegahan dadah terhadap kumpulan sasar jabatan masing-masing dengan berkesan.

 

“Sejajar dengan itu juga, peranan komuniti juga diperkukuhkan melalui program-program untuk mendaya upayakan komuniti supaya komunti memainkan peranan penting dalam usaha ini.

 

“Dua program baru dilaksanakan mulai bulan Jun 2018 ialah program Jihad Dadah dan Anak Wawasan (AWAS) yang merupakan program inisiatif MTMD Daerah Larut Matang dan Selama yang diurusetiakan oleh PDRM dan AADK dan dipengerusikan oleh Tuan Pegawai Daerah,” kata beliau.

 

May Ing menjelaskan objektif program Jihad Dadah adalah pembersihan kawasan sasaran daripada masalah dadah dan kemudian diserahkan kepada komuniti untuk pemantauan seterusnya, manakala AWAS pula merupakan program inisiatif  Ikon Antidadah serta Sukarelawan Antidadah (SKUAD) Daerah Kerian yang mensasarkan golongan pelajar serta meningkatkan peranan mereka yang berada di pesekitaran pelajar dan sekolah seperti guru, ibubapa serta pemimpin setempat.

 

Program rintis dikedua-dua kawasan tersebut akan dibuat penilaian dan diperluaskan ke kewasan lain yang bersesuaian, tambah beliau lagi.