IPOH: Kerajaan negeri menggunakan pelbagai cara bagi melaksanakan baki 30 daripada 82 akujanji yang diikrarkan oleh Barisan Nasional (BN) bagi melengkapkan manifesto dan janji semasa Pilihan Raya Umum ke-13.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, kerajaan negeri BN sentiasa menjalankan pendekatan mendengar masalah yang diutarakan rakyat dan menawarkan jalan penyelesaian bagi mengatasi masalah itu.

“Setakat ini kita sudah menyempurnakan 52 akur janji. Antara pencapaian kita menerusi akur janji itu ialah menjadikan Pangkor sebagai pulau bebas cukai, menaik taraf Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS) kepada taraf universiti serta memperbanyakkan sekolah agama dan tahfiz,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi soalan lisan pada mesyuarat ketiga penggal ke-13 persidangan Dewan Undangan Negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Menjawab soalan tambahan yang dikemukakan oleh Datuk Dr. Zabri Abd Wahid (BN-Trong), Dr Zambry berkata, kerajaan negeri membuat perancangan dalam menambah bilangan pekan kecil di Perak dari semasa ke semasa.

“Seperti mana yang kita tahu, kawasan Trong merupakan yang pertama diwujudkan konsep pekan kecil dan dari segi bilangan, pecan kecil ini akan ditambah dari masa ke semasa mengikut keperluan dan permohonan.

“Pekan kecil yang wujud itu juga berjaya membangunkan dan merancakkan pertumbuhan bagi kawasan jauh di pedalaman dengan harapan ia mampu berkembang sehingga di kawasan hiliran,” katanya.