Oleh:Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Kerajaan negeri akan melancarkan kempen “Perak Yang Bersih” dalam usaha memerangi demam denggi secara habis-habisan secara serentak di seluruh negeri pada 31 Mac ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata ianya bakal disertai oleh kesemua pihak di setiap peringkat pengurusan termasuk ketua-ketua kampung di seluruh negeri dalam menjalankan gerakan kesedaran pembersihan secara bersepadu.

Jelasnya, beliau juga seperti biasa akan turut menyertai kempen tersebut dan memantau mana-mana kawasan yang agak terbiar dan kotor.

“Saya telah berkali-kali tekankan aspek kebersihan di mana semua pihak harus bekerjasama untuk memastikan kawasan di rumah mereka atau premis terjaga, khususnya kawasan berpotensi merebaknya penyakit denggi ini.

“Contohnya tahun lepas kita telah mengambil pendekatan drastik dengan membersihkan kawasan merebaknya nyamuk Aedes sehingga peratusan jangkitan denggi menurun 60 peratus.

“Tetapi tahun ini, apabila pihak-pihak tertentu tidak memberikan perhatian maka tentunya denggi akan mulai membiak, itulah sebabnya kami mengambil inisiatif melancarkan kempen Perak Yang Bersih ini,”katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Mesyuarat Exco di Bilik Mesyuarat, Pejabat Menteri Besar di sini pada petang Rabu.

Jelasnya, ia merupakan satu langkah yang diyakini efektif dalam memastikan kesedaran mengenai penjagaan kebersihan sentiasa menjadi keutamaan buat semua warga negeri Perak.