IPOH – Kerajaan negeri telah meluluskan keputusan bagi mewujudkan Elaun Tanggungjawab Khas (ETK) kepada penjawat-penjawat awam negeri yang layak.

Menteri Besar YAB Ahmad Faizal Azumu berkata elaun tersebut ini adalah tanda bahawa kerajaan negeri amat menghargai sumbangan dan perkhidmatan penjawat awam untuk memajukan negeri.

“Kerajaan negeri telah memutuskan untuk meluluskan dan mewujudkan kepada penjawat-penjawat awam negeri yang berkelayakan pada Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri Bilangan 1945 sejak daripada 4 Julai 2018.

“Pembayaran ETK ini akan dibuat secara bulanan mengikut beban tugas dengan nilai sebanyak RM125 hingga RM150 bagi para pegawai yang berkelayakan,” katanya.

Beliau bercakap kepada media selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri Di Bangunan SUK Negeri Perak, di sini, hari ini.

Tambah beliau, kerajaan negeri telah melaksanakan kenaikan pangkat secara khas untuk penyandang bagi membolehkan pegawai untuk kekal di jawatan asal dengan diberikan gaji dan emolumen gred kenaikan pangkat.

“Namun ada isu yang timbul berkaitan kenaikan pangkat secara khas untuk penyandang antaranya penyandang hakiki di jawatan naik pangkat mengalami kesukaran dalam menyelia orang bawahan yang telah dinaikkan pangkat pada gred yang sama secara KUP secara menyandang jawatan,” katanya lagi.

Katanya, penyandang hakiki di jawatan naik pangkat memiliki tanggungjawab lebih berat dengan menikmati gaji dan emolumen yang hampir sama dengan penyandang KUP.