IPOH – Kerajaan negeri berhasrat meletakkan fokusnya kepada sektor pelancongan dan pertanian di luar bandar dalam Draf Rancangan Struktur Negeri (DRSN) Perak 2040 sebagai langkah membantu membangunkan ekonomi rakyat pelbagai lapisan.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Luar bandar dan Pembangunan Usahawan berkata Asmuni Awi berkata, dua sektor itu diberi penekanan bagi memastikan hasrat kerajaan Malaysia untuk mencapai negara maju tahun 2020 dapat dicapai tanpa meminggirkan kawasan luar bandar.

“Tumpuan kerajaan negeri memajukan kawasan luar bandar ini bagi memastikan ekonomi negeri dapat dinikmati oleh rakyat segenap lapisan secara inklusif.

“Di bawah draf DRSN Perak 2040 ini, ia dirangka dibawah teras 2 iaitu peningkatan nilai tambah dan produktiviti ekonomi berasaskan sumber tempatan dan semula jadi,” katanya.

Asmuni berkata demikian ketika menjawab soalan lisan dari Datuk Zainun Mat Noor (Chenderoh – BN) berkenaan perancangan kerajaan negeri dalam projek pembangunan ekonomi luar bandar yang akan diberi keutamaan menjelang tahun 2020.

Jelas Asmuni, di bawah sektor Pelancongan, kerajaan negeri akan menyediakan pelan induk pelancongan negeri Perak bertemakan destinasi pelancongan alam semula jadi dan warisan.

“Antara strateginya adalah membangunkan eko pelancongan dan pelancongan warisan sejarah dengan penglibatan komuniti setempat sekaligus memberi pendapatan kepada penduduk luar bandar.

“Sterusnya kerajaan negeri jgua akan berusaha membangunkan produk pelancongan secara bersepadu dan mempromosikannya secara meluas melalui agensi-agensi sedia ada selain mengalakkan perbelanjaan pelancong di kawasan tertentu,” ujarnya.

Bagi strategi dibawah sektor pertanian pula, beliau memberitahu usaha meningkatkan hasil pengeluaran agromakanan akan dibuat bagi memperkukuhkan negeir Perak sebagai lembah pengeluaran makanan negara.

“Kebanyakan kawasan luar bandar di perak adalah kawasan pertanian yag berupaya mengeluarkan hasil tanaman, perikanan dan ternakan yang tinggi kepada negeri dan negara.

“Pengeluaran ini perlu dipertingkatkan dengan menaiktaraf infrastruktur ladang, amalan teknoloi moden, penggunaan sistem automasi, usahasama berkesan dan bantuan pusingan modal dalam kalangan pengusaha,” ujar beliau.

Tambah beliau lagi, usaha memperkasakan industri komoditi negeri juga akan dirancakkan lagi.

“Tanaman komoditi iaitu kelapa sawit dan getah di perak kebanyakkan terletak di luar bandar.

“Keutamaan perlu dibeirkan kepada pembangunan produk-produk baharu yang bernilai ditambah tinggi dan berorientasikan pasaran melalui penghasilan produk-produk baharu berinovatif oleh institusi penyelidikan dan pembangunan tempatan,” kata ADUN Manjoi itu.