IPOH– Status Bukit Kledang yang sinonim dengan masyarakat Ipoh bagi aktiviti mendaki bukit dan riadah dilihat mampu dijadikan sebagai lokasi pelancongan terbaharu di negeri Perak.

Bagaimanapun Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Tan Kar Hing berkata, kawasan tersebut tidak dibangunkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Perak (JPNPk) sebagai kawasan eko-pelancongan serta tidak didaftarkan sebagai kawasan hutan terbuka untuk pengunjung.

“Setiap kemasukan orang awam dalam mana-mana Hutan Simpanan Kekal (HSK) perlu mendapat kelulusan dan kebenaran melalui permit memasuki Hutan Simpanan Kekal (HSK) sebagaimana yang termaktub dalam Borang 6 Enakmen Akta Perhutanan Negara 1984 (Pemakaian) 1985.

“Kawasan ini telah menjadi tumpuan dan tarikan kepada masyarakat setempat untuk menjalankan aktiviti rekreasi dan riadah,” katanya.

Tan berkata demikian dalam ucapan penggulungan perbahasan di Sidang Dewan Undangan Negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Isnin.

Dalam pada itu, ujarnya terdapat beberapa kemudahan yang dibina di kawasan itu seperti kebun bunga, kemudahan bersukan, tokong, wakaf dan tandas yang dibina tanpa kebenaran oleh penduduk setempat.

“Ia dibiayai dan dibina oleh persatuan-persatuan tanpa kebenaran, Kerajaan memandang serius perkara ini dan sedang diperhalusi dengan perbincangan bersama beberapa pihak,

“Dikhuatiri jika isu ini tidak diselesaikan, ia akan menjurus kepada masalah pencerobohan, penerokaan dan pembukaan hutan dan menyebabkan kes kesalahan hutan

Pihak JPNPk mengalu-alukan mana-mana pihak yang berhasrat untuk bangunkan dan menguruskan kawasan ini dengan syarat serta sekatan yang ditetapkan dalam Enakmen Akta Perhutanan Negara 1984 dan masih kekalkan status tanah sebagai Hutan Simpanan Kekal,” katanya.

Sementara itu, perkara sama dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) (BN-Pangkor) Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang meminta agar perhatian serius diberikan dari aspek kebersihan dan kemudahan infrastruktur.

“Hujung minggu ramai orang datang dan merupakan tempat yang istimewa di Ipoh, saya ingat jangan kita susahkan bagi masyarakat untuk gunakan (Bukit Kledang) dengan dikenakan cas.

“Selama ini pun kita tidak kenakan sebarang cas, saya faham Jabatan Hutan mahu pastikan agar pokok tidak ditebang dan sebagainya.. itu yang penting. Termasuk isu kebersihan tandas untuk kegunaan orang awam.

Saya bimbang masing-masing mahu bina rumah ibadat dan sebagainya, itu yang perlu dikawal selia supaya tidak berlaku kejadian runtuhan dan lain-lain,”kata Zambry ketika mencelah dalam sesi penggulungan.